Monday, December 27, 2021

Dua beradik maut pulang kenduri kahwin

PETALING JAYA: Perjalanan dua beradik selepas menghadiri kenduri kahwin berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan berhampiran simpang Manik Urai, Kuala Krai, Kelantan petang tadi.

Lebih menyedihkan apabila jenazah dua beradik itu yang masih lengkap berpakaian baju Melayu serta bersampin tersepit dalam kereta susulan nahas yang berlaku ketika mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke Damansara, Selangor.

Mangsa yang maut ialah Wan Abdul Azim Wan Zamani, 25, yang beralamat di Bandar Sri Damansara manakala identiti seorang lagi belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Suzaimi Mohammad berkata, berdasarkan keterangan awal saksi, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 4.30 petang apabila kereta jenis Proton Saga dipandu salah seorang mangsa terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori.

Beliau berkata, dua beradik itu baru pulang daripada menghadiri kenduri kahwin di Kelantan sebelum bergerak pulang ke Selangor.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Krai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dan bergegas ke lokasi untuk kerja menyelamat mangsa.

Katanya, tujuh anggota bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah jentera pemadam tiba di lokasi dan mendapati dua mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

“Bomba berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan ‘resq combination spreader dan cutter’. Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

No comments: