Saturday, December 25, 2021

Banjir: Kerja baik pulih sekolah terjejas disegerakan

zuhayat

Pastikan persekitaran pembelajaran selamat dan selesa

BANGI – Kerja-kerja membaik pulih sekolah-sekolah yang terjejas teruk akibat banjir perlu dilakukan segera.

Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kerja-kerja berkenaan penting bagi memastikan persekitaran pembelajaran di kawasan sekolah berada dalam keadaan selamat dan selesa kepada anak-anak generasi pewaris bangsa.

“Petang semalam, saya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, Shah Alam bagi meninjau keadaan infrastruktur sekolah selepas ditenggelami air akibat banjir besar minggu lalu.

“Selain SMK Taman Sri Muda, terdapat lapan buah sekolah lagi dalam kawasan sekitar turut terjejas.

“Selain bilik darjah, bilik khas lain yang rosak teruk adalah bengkel, makmal sains dan makmal komputer,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tegas beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) komited memastikan semua sekolah yang terlibat dalam kejadian banjir besar diberi perhatian segera.

Difahamkan seramai 34 guru sekolah berkenaan terkesan akibat banjir.

Terdahulu, beliau mengumumkan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 ditangguhkan selama seminggu susulan bencana banjir di beberapa buah negeri.

Tarikh baharu pembukaan sekolah bagi negeri-negeri kumpulan A ditetapkan pada 9 Januari ini, manakala kumpulan B pula pada 10 Januari.

Penangguhan berkenaan dibuat sebagai memberi peluang kepada pelajar dan guru membuat persiapan memasuki sesi persekolahan selepas terlibat musibah.

No comments: