SEORANG tokoh agama yang dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat beliau mengajar ditemui rentung dalam kemalangan jalan raya membabitkan lima kenderaan, petang semalam.
Dalam nahas di Jalan Sungai Jagung, Padang Pusing, Pendang Kedah kira-kira pukul 4,40 petang itu, mangsa, Yahya Asy’ari, 65 dilaporkan dari tempat beliau mengajar di Kolej Islam Darul Ulum, Pokok Sena ke rumah mereka di Kampung Lubuk Reba.
Menurut Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, kejadian membabitkan lima kenderaan iaitu Perodua Viva, Proton Saga, Toyota Hilux, Perodua Myvi dan sebuah Proton Wira.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Viva yang dipandu mangsa datang dari arah Sungai Jagung menghala ke Padang Pusing, dipercayai cuba memotong kereta Proton Saga di hadapannya.
“Bagaimanapun kereta itu bertembung dengan sebuah pikap Toyota Hilux sebelum terbabas dan melanggar dua kenderaan lain.
“Berikutan pertembungan itu, Perodua Viva dipercayai terseret dan terbakar menyebabkan pemandunya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Mengulas lanjut, Arriz Sham berkata, kemalangan itu membabitkan 12 mangsa dengan satu kematian, dua cedera ringan manakala sembilan mangsa tidak cedera.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Ezzat Emran Ezzani, berkata kereta Perodua Viva yang terbabit dalam kemalangan dipercayai terbakar 90 peratus.
Katanya, sepasukan anggota dari BBP Pendang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 4.38 petang.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, seorang mangsa ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah kereta Perodua Viva.
Allahyarham Yahya pernah melanjutkan pelajaran di Mekah dengan memasuki Madrasah Darul Ulum, Madrasah Saulatiyah dan Jami’ah Ummul Qura, selama 28 tahun.
No comments:
Post a Comment