Thursday, December 2, 2021

65 pelajar Sekolah Seri Puteri positif COVID-19 – Dr Radzi

Dr Radzi Jidin melawat Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya malam ini. Seramai 65 pelajar SBP itu dijangkiti COVID-19./ Gambar media sosial

SERAMAI 65 pelajar tingkatan satu dan dua Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya didapati dijangkiti COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan menerusi ciapan di laman Twitter Radzi Jidin Comms @DRJComms iaitu laman Twitter rasmi pasukan komunikasi Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Menurut ciapan yang dikeluarkan malam ini, Radzi telah hadir ke sekolah berkenaan bagi meninjau situasi yang berlaku di sekolah berasrama penuh (SBP) itu.

“Ini merupakan kali pertama SBP kena kes sebanyak ini. Doakan semoga dipermudahkan segala urusan,” demikian menurut ciapan itu.

Sementara itu, menerusi laman Facebook, Radzi memaklumkan, selepas mesyuarat lewat petang tadi, beliau dimaklumkan terdapat kes positif COVID-19 di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya.

“Saya bersama Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, (Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid) terus ke sekolah berkenaan malam ini untuk mendapatkan gambaran sebenar keadaan di sana.

“Turut hadir Dr. Md Nasir daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang,” katanya yang memuat naik video penjelasan situasi semasa di sekolah berkenaan.

Menurutnya, 65 orang yang dikesan positif hari ini hasil saringan lebih 200 pelajar sekolah berkenaan.

Katanya, kes di sekolah itu asalnya bermula setelah seorang guru didapati positif COVID-19.

“Pelajar yang positif kini di MAEPS, Serdang untuk pemantauan lanjut.

“Esok PKD akan lakukan ujian saringan ke atas baki pelajar.

“KPM dan PKD Sepang bekerjasama rapat untuk memastikan keselamatan pelajar,” jelasnya.

Pada 9 Oktober lepas, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan mana-mana sekolah yang dikesan mempunyai kes positif COVID-19 perlu ditutup selama tujuh hari, tanpa menunggu analisis risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Institusi pendidikan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka mula beroperasi pada 31 Oktober lepas.

Operasi institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) itu adalah berdasarkan peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 18 Oktober lepas.

No comments: