Isnin, 15 November 2021

Saya masih waras untuk mengetahui batasan halal haram – Asyraf

MALAYSIA POST

Saya masih waras untuk mengetahui batasan halal haram – Asyraf

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan video tular di media sosial mendakwa dirinya memeluk wanita bukan mahram.

Menurutnya, video berkenaan juga tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tetapi perkara itu berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau menjelaskan, wanita-wanita yang dipeluknya ketika hadir untuk penamaan calon PRU-14 Pasir Puteh itu adalah merupakan kaum keluarganya sendiri.

“Ramai yang tanya kesahihan video tular yang cuba memfitnah kononnya saya memeluk wanita bukan mahram. Untuk pengetahuan, semua dalam video tersebut adalah ibu, isteri dan adik beradik kandung saya sendiri.

“Video tersebut tiada kaitan dengan PRN Melaka tetapi waktu Penamaan calon PRU-14 di Pasir Puteh Kelantan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Asyraf menegaskan masih waras untuk mengetahui batasan halal dan haram.

“Nasihat saya hentikanlah memanjangkan fitnah ini, walaupun saya berasa bersyukur kerana dapat pahala percuma daripada segala amal kebaikan pemfitnah dan penular fitnah.

“Manakala dosa-dosa saya pula berpindah kepada mereka sebagaimana hadis mengenai golongan yang muflis akhirat,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 1 minit itu, memaparkan Asyraf memeluk serta bersalam dengan beberapa wanita dan lelaki yang berpakaian serba biru sepertinya selepas selesai penamaan calon pada PRU-14. – Malaysiapost

Tiada ulasan: