Isnin, 15 November 2021

Bubar Parlimen bukan semudah ‘tekan butang’ -Shahrir

Nilam Oshman

Bubar Parlimen bukan semudah ‘tekan butang’ -Shahrir

“NAK bubar Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN), bukan semudah dengan ‘tekan butang’ saja,” kata veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abd Samad membidas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai Perlembagaan dalam pembubaran Dewan Rakyat mahupun DUN, jadi ia banyak prosedur yang perlu dibuat, bukannya semudah ‘tekan butang’ seperti didakwa Muhyiddin

“Negara kita ni ada Perlembagaan. Negeri pun ada perlembagaan masing-masing.

“Tambahan pula, ada Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Pemerintah dan Tuan Yang Terutama (TYT) Ketua-ketua negeri yang juga ada peranan dan tanggungjawab berperlembagaan.

“Ia tertakluk kepada proses di bawah perlembagaan yang melibatkan peranan Ketua Negara atau Ketua Negeri. Tak semudah dengan ‘tekan butang’ sahaja,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Shahrir turut menekankan soal kenyataan Muhyiddin berhubung ‘saya jatuh Umno tidak sokong’ pun ada kaitannya dengan konsep asas kepada amalan demokrasi negara ini.

“Iaitu Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Itu, kalau kita masih boleh ingat,” katanya.

Jumaat lalu, Muhyiddin menyelar tindakan Shahrir yang mencabar Bersatu menarik sokongan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Beliau berkata, tindakan Shahrir itu memberi risiko keselamatan rakyat Johor yang mungkin menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN), jika Bersatu menarik sokongan.

“(Cabaran) itu berniat jahat. Shahrir nak macam mana berlaku di Melaka, berlaku di Johor.

“Jangan cabar saya. Sekarang saya boleh tekan semua butang, semua jatuh. Kamu nak itu berlaku? Saya tak takut, tapi saya fikirkan nasib rakyat Johor,” katanya.

Sebelum itu, Shahrir dilapor berkata, Umno Johor bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) jika Perikatan Nasional (PN) mahu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri itu. – Malaysiapost

Tiada ulasan: