Isnin, 15 November 2021

Pengerusi SPR perlu letak jawatan jika peratusan keluar mengundi bawah 50%

MALAYSIA POST

Pengerusi SPR perlu letak jawatan jika peratusan keluar mengundi bawah 50%

PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh digesa meletak jawatan jika kadar peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berada pada tahap di bawah 50 peratus.

Perkara itu disaran veteran DAP, Lim Kit Siang yang menegaskan jika ia berlaku, SPR jelas gagal menjalankan PRN Melaka secara “bebas, adil dan bersih”.

“Menjelang hari pengundian dalam masa lima hari lagi, saya menyeru SPR supaya sedar tugasnya untuk menjalankan pilihan raya secara “bebas, adik dan bersih”.

“Iaitu segera menarik balik larangan dan membenarkan kempen secara fizikal dijalankan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kit Siang berkata SPR harus dilihat bekerja keras dalam memastikan peratusan keluar mengundi PRM Melaka melebihi paras 70 peratus.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata SPR telah tersasar daripada skop tugasnya iaitu untuk memastikan PRN berjalan secara “bebas, adil dan bersih”.

Sebaliknya beliau mendakwa SPR menjadi ejen kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yang dipertanggungjawab membendung penyebaran jangkitan Covid-19.

“Sedangkan itu bukan tugas SPR, sebaliknya tugas pegawai KKM.

“SPR sepatutnya memastikan seramai mungkin pengundi keluar pada 20 November nanti, namun badan itu melakukan hal yang sebaliknya,” katanya.

Katanya lagi SPR masih berada di takuk lama dengan pemikiran lapuk dan usang dalam memahami tanggungjawabnya.

Menurutnya ia harus sedar bahawa tugasnya bukan hanya sekadar untuk memastikan hari mengundi berjalan lancar, malah memberi tumpuan kepada perjalanan kempen.

“Iaitu memberi kesedaran kepada pengundi tentang kepentingan untuk mengundi. Dengan mengharamkan semua bentuk kempen secara fizikal, SPR telah culas dalam menjalankan tanggungjawabnya,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: