Isnin, 15 November 2021

RUU Anti Gangguan Seksual dijangka dibentang sebelum 16 Disember ini.

MALAYSIA POST

RUU Anti Gangguan Seksual dijangka dibentang sebelum 16 Disember ini.

RANG Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual dijangka akan dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Mesyuarat Dewan Rakyat sebelum 16 Disember ini.

Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata ia bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara dan juga persetujuan daripada Mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurutnya, draf RUU berkenaan kini sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara dan diharap dapat diluluskan dalam minggu ini.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan bebas gangguan seksual untuk seluruh rakyat khususnya golongan wanita.

“Berkaitan dengan draf RUU Anti Gangguan Seksual yang telah digubal secara kolektif melalui satu pasukan projek Khas dengan penyertaan pelbagai pihak terdiri daripada wakil-wakil Kementerian dan agensi berkaitan, badan bukan kerajaan (NGO) serta ahli-ahli akademik.

“Kementerian telah mensasarkan pembentangan RUU ini bagi bacaan kali pertama iaitu pada Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat yang sedang bersidang sekarang ini iaitu sebelum 16 Disember ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Noorita Sual (DAP-Tenom) mengenai garis masa Akta Gangguan Seksual akan dibentangkan.

Menurut Siti Zailah, proses semakan RUU adalah satu proses yang perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan RUU berkenaan benar-benar mampu menangani kelompangan perundangan sedia ada dan isu-isu pelaksanaan yang akan timbul.

“Pada masa ini kes-kes gangguan seksual ditangani melalui akta dan peraturan sedia ada iaitu Kanun Keseksaan Akta 574; Akta Kerja 1995; Akta 265; dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Akta lain adalah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017; Peraturan 4 Peraturan Pegawai Awam Kelakuan Tatatertib dan juga Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 5 Tahun 2018.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga sedang membangunkan module intervensi gangguan seksual di tempat kerja untuk kegunaan pegawai psikologi atau kaunselor bagi kes-kes gangguan seksual di tempat kerja,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan berkenaan statistik kes gangguan seksual yang dilaporkan, beliau memaklumkan setakat ini hanya mempunyai data daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tahun ini.

“Sehingga tahun ini kes yang disiasat mengikut Kanun Keseksaan (KK) iaitu Seksyen 354 (474 kes); Seksyen 377D (35 kes) dan Seksyen 509 (266 kes) melibatkan keseluruhan 775 kes direkodkan PDRM,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: