Bernama

MELAKA:
"Mereka baru menabur janji, saya sudah lama menabur bakti", itu prinsip
yang dipegang calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu
Datuk Norhizam Hassan Baktee yang juga penyandang di kawasan itu.
Moto
itu bukan omong kosong tetapi menurutnya, ia telah diterjemahkan sejak
tiga tahun lepas apabila beliau sebagai wakil rakyat kawasan berjaya
menyelesaikan pelbagai masalah penduduk setempat.
"Saya mungkin agak celupar, tetapi daripada masalah longkang sampai ke sebesar-besar masalah, Insya-Allah saya akan selesaikan.
"Saya
takde IR (Insinyur kelayakan sebagai jurutera), tapi saya ada JR (Jiwa
Rakyat), itu kita kena ada sebagai wakil rakyat, Insya-Allah rakyat akan
menilainya, jika terus diberi mandat saya akan teruskan kerja-kerja
sebagai wakil rakyat iaitu membantu penduduk selesaikan pelbagai
masalah," katanya ketika ditemui Bernama di Pantai Peringgit di sini.
Terkenal
dengan jolokan 'YB Viral', anak jati Pengkalan Batu berusia 56 tahun
ini berkata masalah perparitan yang menyebabkan banjir dan masalah anak
muda yang hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19 akan menjadi antara
perhatian utama jika beliau terus diberikan amanah sebagai wakil rakyat.
Tidak
gentar dengan empat lagi saingannya, Norhizam yang menggunakan logo
kunci pada pertandingan kali ini, mempertaruhkan prestasinya untuk
dipilih semula sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
Norhizam
yakin dirinya akan mencipta sejarah sebagai calon Bebas dengan
mempertahankan kerusi Pengkalan Batu sambil menegaskan persepsi wakil
rakyat Bebas tidak boleh buat kerja di kawasan, perlu ditangkis.
Beliau
juga tidak menolak kemungkinan akan menyokong gabungan tertentu bagi
membentuk kerajaan negeri demi terus memberikan perkhidmatan terbaiknya
kepada pengundi.
"Saya tidak boleh
fikirkan diri sendiri dalam soal ini, saya akan melihat tawaran yang
dipelawa kepada saya, dan pastinya ia bersyarat. Tidak kira gabungan
mana pun, jangan buat perangai lama, itu syarat saya," katanya yang akan
memikirkan tentang sebarang tawaran, hanya jika beliau sah menang
selepas hari pengundian nanti.

Pada 7 Nov, Norhizam mengumumkan akan mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Batu pada satu sidang media. --fotoBERNAMA
Menyentuh
mengenai sentimen pengkhianat dan gelaran 'katak' kepadanya, Norhizam
membidas kenyataan tersebut sambil menyatakan perkara tersebut dibuat
kerana tidak mahu terus melihat kerajaan negeri melakukan penyelewengan
yang disifatkannya sebagai kemungkaran.
"Saya
nak perbetulkan sentimen terhadap saya, saya bukan pengkhianat, bukan
katak tetapi saya penyelamat, jika saya dan tiga lagi tidak berbuat
demikian, maka kita akan terus melihat perkara tidak betul dalam
kerajaan, parti tidak salah, yang salah pemimpinnya, kalau ada siapa
yang kata katak tu, datang jumpa saya, saya 'sekolahkan' dia," katanya.
Meninjau
di ruangan Facebooknya 'Aku YB Ke Kau YB?, Norhizam berkata selain
semua kerja-kerja di kawasannya direkodkan di laman itu, ia juga menjadi
saluran untuk beliau mengambil maklum segala aduan masyarakat selain
bertemu secara fizikal.
Beliau berkata
pendekatannya di dalam sidang DUN mungkin dilihat kasar, tetapi beliau
berkata karaktor tersebut adalah sifat semulajadinya dan menegaskan ia
penting untuk beliau membawa suara rakyat menerusi persidangan DUN.
"Saya
bukan berlakon, itu memang diri saya. Dalam dewan saya memang lawan,
tetapi di luar dewan saya kawan, bersama penduduk saya lebih selesa
berlembut, makcik pun boleh menangis dengan saya, sebolehnya saya tidak
mahu meletakkan sempadan dengan masyarakat, saya mahu kekal menjadi
wakil rakyat yang mudah didekati," katanya.
Norhizam
yang pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi DAP Negeri Melaka
'menawan' kerusi Pengkalan Batu di bawah Pakatan Harapan (PH) pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti 2,756 dan dilantik
sebagai Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan Negeri.
Beliau
kemudian keluar dari DAP dan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN)
yang mengambil alih kerajaan PH di Melaka pada Mac 2020 dengan
mengekalkan portfolio yang sama atas tiket Bebas.
Bagaimanapun
pada Okt lepas, Norhizam bersama-sama tiga lagi Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap BN menyebabkan DUN Melaka
terbubar dan PRN terpaksa diadakan, 20 Nov ini.
Pada
PRN Melaka Norhizam akan berdepan pertembungan lima penjuru dengan
calon muda Muhamad Danish Zainudin (PH), Mohd Azrudin Md Idris (PN), Dr
Mohd Aluwi Sari (Putra) dan Datuk Kalsom Nordin (BN).-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan