Tuesday, November 2, 2021

Pelakon Ammar Alfian didenda RM3,500 cederakan pemandu, khianat van Pos Malaysia

 Oleh NORLIZAH ABAS

AMMAR ALFIAN

KUALA LUMPUR: Pelakon Ammar Alfian didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melakukan khianat dengan mengetuk pintu sebuah van Pos Malaysia menggunakan kayu besbol dan menumbuk pemandu van tersebut, April lalu.

Majistret S. Mageswary turut memerintahkan pelakon itu atau nama sebenarnya Ammar Alfian Aziz, 34, menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Bagi pertuduhan khianat, mahkamah menjatuhkan denda RM2,000 atau penjara sebulan. Bagi pertuduhan mencederakan, dia didenda RM1,500 atau penjara sebulan.

Lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan mengetuk pintu sebelah kanan kenderaan jenis Toyota Hiace milik Pos Malaysia Berhad menggunakan kayu besbol sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian RM777.

Pelakon filem Paskal itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Jalan Budiman 26/17A, Cheras di sini pada 1.45 petang, 5 April lalu.

Ammar Alfian didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

No comments: