Tuesday, November 2, 2021

Jelajah Selangor Bekerja: 239 calon berjaya isi jawatan kosong

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

MOHD. Khairuddin Othman (berdiri, kanan) ketika melawat program Jelajah Selangor Bekerja 2021 yang sedang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor pada 23 Oktober lalu.

SHAH ALAM: Seramai 239 daripada 1,108 calon yang hadir temuduga semasa siri Jelajah Selangor Bekerja pada 23 Oktober dan 30 Oktober di Shah Alam dan Kuala Selangor berjaya mendapatkan pekerjaan.

Perkara itu dimaklumkan Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman yang memberitahu daripada jumlah calon hadir,  seramai 513 calon pula layak menjalani sesi temuduga kedua.

“Sejumlah 55 majikan telah hadir ke jelajah tersebut antaranya Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (Proton), SACC Convec Sdn.Bhd., Assembly Services Sdn. Bhd. (UMW Toyota), SD Impex Sdn. Bhd.dan Oldtown Kopitiam Sdn. Bhd.

“Kerajaan negeri akan menganjurkan empat lagi siri Jelajah Selangor Bekerja di beberapa daerah sepanjang November ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, antara lokasi jelajah tersebut adalah di Hulu Selangor dijadualkan pada 6 November, Hulu Langat pada 13 November diikuti Petaling pada 20 November dan Shah Alam pada 27 November ini.

Jelasnya lagi, sasaran kerajaan negeri adalah untuk mengurangkan kadar pengangguran daripada 4.4 peratus pada tahun ini kepada 3.7 peratus pada tahun hadapan.

Terdahulu ,Oktober lalu, Mohd.Khairuddin memaklumkan, menerima hampir 10,000 pendaftaran menerusi portal rasmi Jelajah Selangor Bekerja 2021 di pautan www.selangorbekerja.com.my.

Program tersebut merupakan inisiatif kerajaan Selangor mengembalikan kerjaya kepada mereka yang terjejas dan hilang pekerjaan disebabkan Covid-19. -UTUSAN ONLINE

No comments: