Tuesday, November 2, 2021

Helah guna pelekat palsu gagal, arak dan rokok lebih RM127,000 dirampas

Oleh NUR NABILAH RAHMAT
ARAK dan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan yang membawa penahanan tiga suspek di Kluang, Johor. 

KLUANG: Kegiatan penyeludupan arak dan rokok yang menyasarkan jualan di kedai runcit sekitar daerah ini ditumpaskan pihak berkuasa susulan penahanan tiga lelaki di Taman Delima serta Taman Saujana di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Dimin Awang berkata, tiga lelaki tempatan berusia 20, 28 dan 33 tahun itu cuba membuat helah bagi mengelak kegiatan mereka dikesan dengan menggunakan pelekat kastam disyaki palsu.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM127,318 dan percaya penangkapan itu memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai di sekitar daerah ini.

“Dalam operasi pertama kira-kira 9.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Batalion 5 PGA menahan dan membuat pemeriksaan ke atas dua suspek di sebuah premis di Jalan 1, Taman Delima, di sini.

“Antara barang yang dirampas adalah 54 karton rokok pelbagai jenama dan 1,745 botol arak pelbagai jenama. Semua barang tersebut tidak memiliki cukai kastam serta menggunakan pelekat kastam yang disyaki palsu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dimin berkata, hasil soal siasat dan dipandu arah oleh kedua-dua suspek, pasukan seterusnya membuat pemeriksaan terhadap sebuah lagi premis di Jalan Saujana Perdana 1, Taman Saujana sebelum menahan seorang lagi suspek lelaki.

“Antara barang yang dirampas adalah 168 tin arak pelbagai jenama dan 175 botol arak pelbagai jenama yang tidak memiliki cukai kastam,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan serta rampasan dibawa ke Ibu pejabat Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan Ianjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (I) Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE 

No comments: