Tuesday, November 2, 2021

Melaka banjir lagi

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
SETAKAT pukul 8 pagi ini, tiga PPS telah dibuka untuk menempatkan kesemua mangsa terlibat di Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA: Seramai 159 penduduk di negeri ini terpaksa dipindahkan ke tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) selepas beberapa kawasan di daerah Alor Gajah dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam, semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, setakat pukul 8 pagi tadi, tiga PPS telah dibuka untuk menempatkan kesemua mangsa terlibat.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal dibuka pada pukul 8 malam tadi dan menempatkan seramai 24 mangsa daripada 10 buah keluarga.

“PPS kedua iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah turut dibuka kira-kira sejam kemudian dan seramai 81 mangsa daripada 19 buah keluarga berada di situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebuah lagi PPS dibuka di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal yang menempatkan 54 mangsa daripada 11 buah keluarga.

Jelasnya, antara kawasan yang terjejas adalah di Bukit Balai, Taman Murai Jaya dan Kampung Padang Keladi.

Dalam pada itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh turut menyelamatkan tiga wanita dan seorang kanak-kanak yang terkandas dalam bencana tersebut di Jalan Padang Keladi, Durian Tunggal.

Jurucakap bomba berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.06 petang dan seramai 16 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi pasukan kita telah menjalankan operasi menyelamatkan mangsa banjir termasuk tiga wanita dan seriang kanak-kanak yang terkandas.

“Kesemua mangsa kemudian telah dipindahkan ke kawasan selamat di rumah saudara mereka,” katanya.

No comments: