Tuesday, November 2, 2021

Empat daerah terjejas, mangsa banjir meningkat 526 orang

Oleh NUR ANATI JUHARI
ANGGOTA APM Kota Setar membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Alor Jawi, Alor Setar, Kedah.

ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat kepada 526 mangsa daripada 145 keluarga di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah setakat pagi ini.

Mangsa banjir yang dipindahkan semalam seramai 292 mangsa daripada 79 keluarga di satu PPS di daerah Pendang dan dua di daerah Kota Setar.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd. Muaz Mohd. Yusof berkata, sehingga pukul 8 pagi ini, dua PPS dibuka di Baling, empat di Kota Setar dan masing-masing satu di Pendang dan Kubang Pasu.

Jelas beliau, dua PPS kembali dibuka di Baling iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Siong dan PPS Tunku Putera setelah ditutup semalam.

“Seramai tujuh mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS SK Siong dan lapan mangsa daripada satu keluarga di PPS Tunku Putera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Muaz berkata, di daerah Kota Setar pula satu PPS di Pokok Sena iaitu PPS Surau Permatang kekal dengan 22 mangsa daripada lapan keluarga yang dibuka sejak Sabtu lalu.

“Satu PPS baru juga dibuka di Kota Setar iaitu PPS SK Darul Hikmah yang menempatkan 62 mangsa daripada 14 keluarga yang dibuka pada pukul 6 petang semalam.

“Di PPS SK Langgar kini menempatkan 79 mangsa daripada 23 keluarga dan 38 mangsa daripada 15 keluarga di PPS SK Suka Menanti,” jelasnya.

Menurutnya, di daerah Pendang, jumlah mangsa meningkat kepada 245 mangsa daripada 61 keluarga pagi ini berbanding 207 mangsa daripada 53 keluarga semalam yang di tempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah.

“Satu lagi PPS baru dibuka di daerah Kubang Pasu berikutan hujan lebat semalam dengan menempatkan 65 mangsa daripada 19 keluarga di PPS SK Dewan Kampung Tradisi, Lebah Keriang yang dibuka pukul 2 pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, beberapa jalan dan perumahan di Changlun dekat Kubang Pasu turut dilanda banjir kilat malam semalam.

Kejadian itu mengakibatkan kenderaan yang melalui Jalan Bukit Kayu Hitam – Paya Kemunting Jitra terkandas.

Paras banjir kilat mencecah sehingga 0.4 meter dan jalan tersebut ditutup bermula pukul 10 malam.

No comments: