Khamis, 18 November 2021

Larangan jual arak untuk kawal pihak tak bertanggungjawab

 azrulhakimie

Dapat kurangkan aksesibiliti lesen dan masalah sosial

KUALA LUMPUR – Pendekatan Kementerian Wilayah Persekutuan melarang penjualan arak di kedai serbaneka dan runcit sekitar bandar raya ini bertujuan mengawal pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjual samsu (arak) haram.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim berkata ia juga dapat mengurangkan aksesibiliti pengeluaran lesen penjualan produk itu selain dapat mengurangkan masalah sosial.

“Kita perlu kawal pengeluaran lesen ini, beri (lesen penjualan) untuk tempat-tempat khas sahaja,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau membangkitkan perkara itu selepas beberapa Ahli Parlimen daripada blok pembangkang antaranya Teresa Kok (PH-Seputeh), Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang), Tan Kok Wai (PH-Cheras) dan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang mempersoalkan keputusan kementerian itu tentang isu penjualan arak.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata minuman itu masih boleh didapati di premis-premis yang dibenarkan antaranya pasar raya besar, kompleks perdagangan dan pusat beli-belah.

“Kita juga benarkan penjualan arak (liquor) di premis khusus menjual minuman keras berlesen yang beroperasi di Kuala Lumpur seperti pub, bar dan restoran secara dine-in.

“Pengusaha atau pemilik premis itu juga masih boleh memperoleh Lesen Minuman Keras (LMK) daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengikut syarat ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata bagi kedai ubat tradisional seperti kedai ubat Cina, penjualan ‘liquor campuran’ dan liquor pure yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan perubatan tradisional masih boleh dijual.

Beliau berkata beberapa pertubuhan bukan kerajaan juga telah mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan DBKL dalam mengawal selia penjualan minuman keras.

“Saya juga telah mengadakan sesi libat urus berkaitan perkara ini bersama pengeluar, pembotol, pengedar, pemborong dan peruncit termasuk pemilik kedai serbaneka. Mereka memahami hasrat dikenakan Lembaga Perlesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan: