Khamis, 18 November 2021

DAP, MCA dan Gerakan sentiasa jadi batu penghalang usaha daulatkan Islam

 Ainul Illia

Keprihatinan pemimpin terhadap kesejahteraan, keselamatan rakyat barangkali amat dibenci mereka

BANGI – Kritikan hebat yang diberikan oleh parti-parti perkauman Cina – MCA, DAP dan Gerakan – terhadap hasrat kerajaan Kedah untuk tidak lagi memperbaharui lesen operasi premis perjudian dan mengehadkan penjualan arak, mencerminkan betapa ‘ghairahnya’ mereka menentang sebarang agenda memperkukuhkan Islam.

Pemerhati politik, Mohd Luttfi Abdul Khalid berkata, beliau boleh membuat satu kesimpulan bahawa kelompok ini, walaupun berbeza nama dan parti politik akan sentiasa menjadi batu penghalang kepada sebarang usaha untuk mendaulatkan Islam.

Tegasnya, hujah-hujah yang dikemukakan mereka seperti tidak menghormati hak asasi, membuli golongan minoriti, mengurangkan pelancong, tidak menghormati bangsa lain dan seumpamanya hanyalah alasan-alasan dangkal serta memperbodohkan diri sendiri sahaja.

“Rakyat Malaysia dan umat Islam sangat mengetahui muslihat dan sikap hipokrasi mereka.

“Kita tidak melupakan keghairahan mereka khususnya parti rasis cauvinis DAP untuk meraikan pesta mabuk Oktoberfest, kecaman MCA terhadap larangan penjualan arak di premis-premis perniagaan, sikap berdiam diri mereka terhadap isu pemanduan mabuk dan pendirian mereka terhadap isu label arak Timah.

“Wajah yang sama dapat dilihat pada kegigihan mereka mempertahankan sekolah-sekolah vernakular swasta, bantahan terhadap tulisan Jawi di sekolah-sekolah yang sama dan isu perobohan kuil-kuil haram – yang kita lihat terdapat satu kesepakatan antara mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa, DAP dan parti-parti yang senada dengannya juga tidak peduli tentang akibat yang berlaku daripada perbuatan berjudi dan minum arak.

“Mereka tidak peduli gejala penagihan judi dan arak dan kesan-kesan buruk ke atas kewangan isi rumah, krisis rumah tangga, tekanan mental, beban hutang (dan peras ugut Ah Long), kemalangan jalan raya dan kes-kes jenayah yang bersangkut paut dengan ketagihan judi dan arak.

“Kita tertanya-tanya, kepentingan siapakah yang mereka hendak jaga dan pertahankan sebenarnya – tauke-tauke judi dan arakkah, atau masyarakat dan rakyat?,” soalnya.

Walhal, kata Mohd Luttfi, tindakan Menteri Besar Kedah adalah satu tindakan yang tepat, bukan kerana beliau berasal dari parti PAS, akan tetapi itulah tugas dan tanggungjawab setiap pemimpin sepatutnya, baik di peringkat Pusat mahupun negeri. 

“Ini kerana pemimpin sebuah kerajaan negeri perlu memberi perhatian kepada kesejahteraan hidup dan keselamatan jiwa setiap anggota masyarakat di bawahnya, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau kedudukan dalam masyarakat.

“Keprihatinan seperti inilah yang barang kali sangat dibenci oleh para pemimpin DAP dan sekutu-sekutunya,” dakwanya lagi.

Tiada ulasan: