Selasa, 16 November 2021

Buang masa bentuk pasukan petugas khas kaji kes Batu Puteh, kata peguam

Peguam A Srimurugan berkata, semakan itu mungkin tidak boleh dilakukan 
selepas luputnya tempoh 10 tahun dari tarikh penghakiman. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Pembentukan pasukan petugas khas yang akan mengkaji kes kedaulatan Pulau Batu Puteh adalah langkah yang sia-sia kerana tempoh untuk Malaysia memfailkan semakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan terhalang, kata seorang peguam.

A Srimurugan berkata, Perkara 61 (5) Statut ICJ menyatakan bahawa permohonan untuk semakan itu mungkin tidak boleh dilakukan selepas luputnya tempoh 10 tahun dari tarikh penghakiman.

ICJ membuat penghakimannya pada 23 Mei 2008.

“Kita berada di tahun 2021 dan jelasnya kita terhalang untuk melakukan apa-apa tindakan undang-undang. Apa gunanya membentuk pasukan petugas khas ini?” soal Srimurugan.

Beliau mengulas perkara itu selepas kerajaan mengumumkan ahli pasukan petugas khas dan akan mengemukakan laporan menjelang 29 April tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, empat peguam, iaitu Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Tengku Fuad Ahmad dan Baljit Singh Sidhu akan membantu pengerusi pasukan itu, Mohamed Apandi Ali.

Pada 9 Okt, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas diketuai bekas Peguam Negara Apandi yang akan mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa berhubung permohonan semakan keputusan ICJ itu.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Apandi, Abu Bakar dan Firoz Hussein mempunyai konflik kepentingan kerana mereka sebelum ini berada dalam jawatankuasa untuk memfailkan permohonan semakan itu.

“Apandi memfailkan semakan manakala Firoz Hussein dan Abu Bakar menjalankan penyelidikan berhubung perkara itu,” katanya.

Permohonan semakan itu difailkan pada Februari 2017 ketika Barisan Nasional (BN) masih berkuasa tetapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menulis kepada ICJ untuk menarik balik permohonan itu pada 28 Mei 2018.

Pada Mei, Mohd Hatta Sanuri memfailkan tuntutan saman untuk mendapatkan penjelasan kerajaan mengapa permohonan semakan ditarik balik biarpun terdapat bukti baharu yang menyebelahi Malaysia berhubung pulau dengan ukuran tidak lebih separuh padang bola itu.

Hatta menamakan kerajaan dan Perdana Menteri sebagai defendan.

Dalam pembelaan, Putrajaya membatalkan idea untuk membuat permohonan semakan itu selepas mengambil kira pandangan konsultan perundangan asing dan implikasi kos.

Tiada ulasan: