Selasa, 16 November 2021

DUN Terengganu: Mat Said panggil wakil rakyat PAS ‘bodoh’

Keadaan kembali tenang selepas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri 
Terengganu Yahaya Ali meminta semua wakil rakyat mengawal emosi, 
menghormati dewan serta tidak menggunakan perkataan yang tidak sopan 
ketika berucap. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hangat dan berlaku pertikaman lidah beberapa minit selepas Ahmad Said (BN- Kijal) melemparkan perkataan “bodoh” terhadap wakil rakyat PAS.

Ia rentetan kenyataan wakil rakyat PAS yang berkata, perpecahan di Melaka berlaku akibat penolakan wakil rakyat Umno terhadap kerajaan negeri yang ditadbir Umno sendiri.

Ahmad pada masa yang sama menyatakan perpecahan juga pernah berlaku dalam kerajaan PAS Terengganu pada 1961 yang menyaksikan berlakunya usul undi tidak percaya terhadap kerajaan oleh wakil rakyat PAS.

“Tak payah ungkit siapa sebelah (menyebelahi) siapa sebab pada 1961 berlaku PAS sembelih PAS juga,” katanya menurut Sinar Harian.

Keadaan kembali tenang setelah Yang Dipertua DUN Yahaya Ali meminta semua wakil rakyat mengawal emosi, menghormati dewan serta tidak menggunakan perkataan yang tidak sopan ketika berucap.

Terdahalu, sesi perbahasan Bajet Terengganu 2022 juga panas seketika selepas wakil rakyat BN itu menyifatkan perpecahan Muafakat Nasional (MN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, bakal mengembalikan sisi gelap perpecahan Melayu Islam di Terengganu, antaranya solat dua imam.

Suhu dewan mula hangat ketika Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) mendakwa, PRN Melaka merupakan bibit awal perpecahan dua parti terbesar yang di dominasi orang Melayu, iaitu PAS dan Umno yang memberikan kesan terhadap perpaduan orang Melayu di negeri berkenaan.

Katanya, antara kesan perpecahan yang akan berlaku ialah solat dua imam, hasil sembelihan bukan daripada satu kelompok parti tidak boleh makan oleh kelompok yang lain, isu pernikahan serta beberapa lagi kesan lain.

“Kita (di Terengganu) sebenarnya telah lupa mengenai perkara itu selepas MN dimeterai, namun air mata orang Melayu sekali lagi akan mengalir jika Umno dan PAS berpecah dengan tiada muafakat dalam PRN Melaka.

“Keputusan diambil PAS seolah-olah telah mengkhianati orang muda, dulu berjanji mahu berbaik dan bersatu tetapi sekarang mengajar golongan muda untuk kembali berpecah belah,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan Nawi beberapa kali disanggah Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh), dengan mengatakan apa yang diutarakan Nawi mengelirukan dewan.

Beliau turut meminta Nawi memperhalusi piagam MN kerana menganggap Nawi tidak merujuk terlebih dahulu kandungan piagam berkenaan dalam ucapannya.

Tiada ulasan: