Sabtu, 20 November 2021

Berpada hargai jasa bekas PM, bimbang jadi liabiliti kepada negara

 zuhayati

Malaysia perlu nafas baharu kepimpinan berintegriti

BANGI – Tidak dinafikan jasa Perdana Menteri sangat besar, namun harus berpada-pada bagi mengelakkan perkara itu menjadi liabiliti kepada negara.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar mengingatkan kerajaan hari ini supaya menguruskan wang negara sebaik mungkin dan tidak digunakan kepada perkara yang tidak mendatangkan manfaat.

“Tidak dinafikan jasa Perdana Menteri terdahulu, namun wang negara sewajibnya diurus sebaik mungkin kerana ia merupakan satu amanah daripada rakyat.

“Pemberian hadiah besar dilihat tidak wajar ketika penularan pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada majoriti rakyat khususnya membabitkan aspek ekonomi,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilapor mengesahkan kerajaan menerima permohonan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Tengku Zafrul bagaimanapun, berkata, maklumat berkaitan rumah dan hartanah bernilai RM100 juta tersebut tidak dimasukkan ke dalam Bajet 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan.

Media turut melaporkan empat menteri termasuk Tengku Zafrul dikatakan antara yang membantah kelulusan pemberian tanah premium dan rumah mewah kepada Najib.

Mohamed Sukri turut menzahirkan ucapan tahniah terhadap empat Menteri yang bertindak berani dengan membantah perkara berkenaan dalam mesyuarat Kabinet.

Tegas beliau, Malaysia memerlukan nafas baharu dalam kepimpinan negara terdiri daripada mereka yang berintegriti dan menjiwai kesusahan rakyat.

Tiada ulasan: