Sabtu, 20 November 2021

Judi: ‘Jangan ada pihak putar belit konon anggap cabul hak’

Athirah Huda Zalhe

MB digesa kekal tegas tak beri kelulusan lesen premis judi

BANGI, 14 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor digesa kekal dengan pendirian tidak memberikan kelulusan lesen premis perjudian, termasuk menghadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri itu.

Pertubuhan Gerakan Qiam (QIAM) mengucapkan syabas kepada Kedah kerana berani menegakkan syiar Islam demi kesejahteraan rakyat dan mencari keredaan Allah SWT.

Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, QIAM menyokong ketegasan Muhammad Sanusi dalam menangani isu lesen premis judi dan penjualan arak di Kedah.

“QIAM berharap dan memohon agar YAB Menteri Besar Kedah tetap tegas dengan keputusan yang dibuat dan mendoakan agar negeri Kedah terus maju dan mendapat keredaan Allah SWT,” katanya dalam kenyataan.

14 November lalu, Kedah menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) mengumumkan tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain menghadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri itu berkuat kuasa serta-merta.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat EXCO bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar kepada penduduk.

“Saya bukan kata tutup tapi saya tidak bagi lesen premis, mula dengan tidak diberi lesen, kemudian mereka tidak boleh beroperasilah, kita mahu capai sifar judi pada tahun depan,” kata Muhammad Sanusi.

Sehubungan itu, Sirajuddin berharap tiada mana-mana pihak yang memutar belitkan isu berkenaan supaya terlihat sebagai usaha penindasan dan pencabulan hak.

“Semoga keputusan negeri Kedah ini tidak menjadi polemik sehingga dikelirukan di peringkat antarabangsa. 

“QIAM menyeru supaya semua pertubuhan dan badan-badan NGO memberi sokongan kepada langkah ini agar usaha menghapuskan perjudian akan terus meningkat ke arah menjadikan Malaysia negara bebas judi,” katanya.

Tiada ulasan: