Sabtu, 20 November 2021

PRN Melaka: Warga emas keluar awal mengundi

facebook sharing button
twitter sharing button
whatsapp sharing button
email sharing button
A Nathan, pengundi pertama hari ini di SJK(C) Chiao Chee, menandakan jarinya dengan 
dakwat kekal sebelum membuang undi untuk kerusi Asahan.

JASIN: Suasana pilihan raya negeri (PRN) hari ini menyaksikan golongan warga emas bersedia untuk mengundi di pusat undi SJK(C) Chiao Chee di Asahan sejak awal pagi lagi.

A Nathan, 66, antara pengundi terawal, menyifatkan ia sebagai tanggungjawab penting yang perlu ditunaikan sebagai rakyat Melaka walaupun negara dilanda wabak Covid-19.

Pemilik kedai perabot itu berkata, beliau hanya mahukan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan berkhidmat dengan baik kepada masyarakat.

“Dulu, kita tengok bendera, tetapi sekarang kita tengok sama ada pemimpin itu akan bekerja untuk masyarakat setempat. Itu pilihan saya hari ini, saya tak tengok parti lagi,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Zainon Abu Hassan, seorang pesara berusia 74 tahun, berasa sangat teruja untuk menunaikan tanggungjawabnya hari ini sehingga beliau tiba di pusat undinya, yang terletak di sebelah rumah, seawal 7.15 pagi untuk bertanya sudah boleh mengundi.

Namun setelah dimaklumkan undian hanya akan bermula pada 8 pagi, Zainon kembali ke pusat undi kemudian.

Golongan warga emas wanita menayangkan jari mereka yang 
bertanda dengan dakwat kekal setelah mengundi di SJK(C) 
Chiao Chee.

Katanya kepada FMT, seingatnya, beliau sentiasa tekad mengundi setiap kali tiba masanya.

Anak jati Asahan yang kini tinggal di Kuala Lumpur itu kembali ke Melaka kira-kira sebulan lalu bersama keluarga anaknya selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh PRN.

“Saya sentiasa pulang untuk mengundi, rasa seronok,” katanya.

Di Telok Mas, pengundi Mohamad Shukor berkata, beliau pada mulanya kecewa pilihan raya diadakan, namun akur bahawa menjadi tanggungjawabnya untuk keluar mengundi.

“Paling utama, ketika mengundi saya akan mempertimbangkan parti terbaik, dan calon yang bertanding,” katanya.

Seorang lagi pengundi, Siti Aishah Mohd Shariff, 60, kelihatan ceria ketika mengundi, menyapa wartawan di luar pusat undi.

Siti Aishah Mohd Shariff bergambar setelah membuang undi.

“Dah 30 tahun saya mengundi di sini,” katanya kepada FMT.

“Mula-mula, saya rasa sedih dan keliru tentang (krisis politik) yang berlaku. Namun, demi generasi lebih muda, saya keluar mengundi.”

Adik beradik Andrew Ng and Audrey Ng, yang pulang dari Kuala Lumpur untuk mengundi, menggesa orang ramai keluar mengundi, dengan berkata, tiada gunanya mengadu tentang pelbagai masalah di negeri ini jika mereka tidak mengambil peluang ini untuk memilih.

Seorang lagi pengundi, yang hanya mahu dikenali sebagai Liew, 66, berkata proses pengundian lancar, dan beliau hanya mengambil masa 15 minit untuk mengundi.

Beliau mahu memberi masa kepada Pakatan Harapan (PH), katanya, untuk membuktikan kemampuan setelah penggal pemerintahan gabungan itu di Melaka tamat awal tahun lepas.

Sementara itu, Tan Kim Hock berharap rakyat Melaka akan keluar mengundi untuk memilih calon yang akan berkhidmat kepada masyarakat dan tidak tamak kuasa.

“Kita mahukan ADUN yang jujur, bekerja keras, dan mampu berkhidmat kepada masyarakat. Tak kira bangsa atau parti mana, asalkan mereka dapat berkhidmat,” katanya.

Menurut SPR, setakat 10 pagi, peratusan keluar mengundi di Melaka secara keseluruhan adalah 7%.

Tiada ulasan: