Khamis, 21 Oktober 2021

Yan banjir lagi, dua bulan selepas tragedi kepala air

Beberapa kawasan di daerah Yan dinaiki air setelah hujan lebat petang ini./Gambar media sosial.

WALAUPUN tidak seperti kejadian kepala air dua bulan lalu, tetapi apa yang berlaku petang ini cukup membuatkan penduduk sekitar Yan, Kedah berasa bimbang.

Malah dalam kejadian air deras akibat hujan lebat menyebabkan seorang pemandu jengkaut terperangkap berdekatan Pusat Rekreasi Batu Hampar.

Dalam kejadian sekitar 6 petang itu, mangsa, S Lethumanan, 30-an dikatakan sedang melakukan kerja pembersihan di kawasan itu.

Bagaimanapun, air deras yang mengalir laju akibat hujan lebat menyebabkan mangsa terperangkap di seberang sungai di situ.

Mangsa kemudian berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, menurut Bomba Kedah.

Sementara itu, hujan lebat hari ini menyebabkan sebanyak 160 rumah di beberapa kampung dalam daerah Yan terjejas akibat banjir kilat yang berlaku berikutan hujan lebat sejak petang tadi.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, 100 rumah terjejas dalam bencana itu di Mukim Singkir manakala rumah selebihnya di Mukim Yan.

“Kampung yang terjejas di bawah Mukim Yan ini ialah Kampung Perigi, Kampung Raga, Kampung Titi Bakong, Kampung Lubok Boi, Kampung Pulau Chengai dan Pekan Yan manakala Mukim Singkir pula melibatkan Pekan Singkir Darat, Singkir Kedai Keling dan Singkir Genting.

“Ketika ini pekan Yan masih ditenggelami air dan tidak dapat dilalui kenderaan kecil. Air mulai surut di Kampung Raga dan buat masa ini keadaan masih lagi terkawal,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata buat masa ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di daerah itu.

Sementara itu, katanya, di Kuala Muda, tujuh kampung dari empat mukim di daerah itu turut mengalami banjir kilat berikutan hujan lebat yang turun lebih tiga jam namun tiada PPS yang dibuka setakat ini.

Tiada ulasan: