Ahad, 17 Oktober 2021

Pelbagai kesulitan menanti mereka enggan divaksin

azrulhakimie

Kerajaan akan mula mengambil pendekatan lebih tegas

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil pendekatan tegas terhadap mereka yang enggan menerima vaksin, dengan ‘terus mengenakan pelbagai kesukaran’ terhadap mereka, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun katanya bagi yang tidak dapat divaksin atas alasan kesihatan, mereka tidak akan menghadapi dengan apa-apa kesulitan kerana mereka akan diberikan pengecualian digital MySejahtera.

“Maaf saya katakan, kalau anda tidak mahu menerima vaksin atas pilihan sendiri, jadi kita akan buatkan hidup anda sukar, dan ia akan berterusan begitu.

“Tidak boleh makan di restoran, tidak boleh ke pusat beli-belah, dan kita juga akan keluarkan Strategi Ujian Nasional minggu depan… ada kemungkinan mereka (yang enggan mengambil vaksin) akan diminta membuat ujian mengikut kekerapan tertentu, yang biayanya perlu ditanggung sendiri. Pesanan ini adalah untuk meminta supaya anda mengambil vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan media selepas merasmikan program 11th National Acute Myocardial Infarction Course anjuran Hospital Selayang di sini hari ini.

Sementara itu Khairy berkata individu yang memerlukan dos penggalak bagi memenuhi syarat ditetapkan negara tertentu untuk memasuki negara berkenaan, termasuk melakukan umrah, boleh membuat permohonan kepada Kementerian Kesihatan menerusi aplikasi MySejahtera, dan dos ini dijangka akan diberikan bermula bulan ini.

Bagaimanapun beliau berkata pihaknya sedang berusaha dan berbincang dengan negara-negara berkenaan agar tidak ada amalan diskriminasi vaksin.

“(Contohnya) Tidak perlulah pengunjung dari Malaysia mengambil vaksin sekali lagi untuk ke UK (United Kingdom) tanpa kuarantin.. anggaplah semua vaksin, sekurang-kurangnya yang disenarai sebagai penggunaan di masa kecemasan di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah sama.

“Macam UK, mereka sedang menimbangkan permohonan kita, diharapkan mereka akan bersetuju, dan sama juga dengan Arab Saudi…tapi apa pun kita akan berikan dos penggalak itu, namun penyelesaian yang mudah dan lebih baik adalah agar tiada diskriminasi dari segi jenama vaksin,” katanya.

Sementara itu Khairy berkata beliau akan berusaha mewajibkan beberapa bangunan tertentu dilengkapi dengan alat defibrilator luaran automatik (AED).

Katanya beliau akan berbincang dengan kementerian yang berkaitan, serta kerajaan negeri dan kerajaan tempatan mengenai perkara itu kerana ia melibatkan pindaan kepada undang-undang kecil, dan menurutnya beliau juga akan membawa perkara itu ke kabinet nanti.

Tanpa menyatakan tempoh waktu yang disasarkan, katanya ia akan dimulakan di bangunan kerajaan terlebih dahulu, sebelum diikuti bangunan-bangunan lain.

“AED perlu dipamerkan (di bangunan) dan kita perlu melatih seramai mungkin, mereka yang berkebolehan untuk menjadi pihak pertama merawat kes serangan jantung secara tiba-tiba di tempat kejadian, kerana ketika ini kita lihat banyak individu yang terkena serangan jantung tidak dapat diselamatkan kerana tidak sempat dibawa ke hospital,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan: