Ahad, 17 Oktober 2021

Kertas Pandora: PDRM terima 4 laporan

 azrulhakimie

2 kertas siasatan telah dibuka berhubung perkara sama

KUALA LUMPUR – Polis menerima empat laporan berkaitan pendedahan Kertas Pandora, dengan dua kertas siasatan dibuka berhubung perkara itu, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Beliau berkata satu daripada kertas siasatan itu dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Okt manakala satu lagi akan dirujuk kepada BNM pada Isnin (18 Okt) untuk siasatan lanjut.

“Polis turut melakukan rakaman percakapan pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata dua lagi laporan yang diterima diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut kerana berkaitan aktiviti penyerahan memorandum yang menggesa siasatan dilakukan.

Kertas Pandora adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan ‘offshore’ atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pendedahan Kertas Pandora.

Pada Isnin lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula dilaporkan berkata BNM sedia bekerjasama dengan agensi penguat kuasa undang-undang untuk memantau dan menyiasat dokumen terkandung dalam Kertas Pandora yang membabitkan individu di negara ini. – Bernama

Tiada ulasan: