Jumaat, 15 Oktober 2021

Negara perlu manfaat sumber mineral RM4.11 trilion sepenuhnya

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

Kurangkan kebergantungan dengan negara luar

BANGI – Tidak mustahil sumber mineral negara – yang dianggarkan berjumlah RM4.11 trilion – boleh menjadi sumber kekayaan Malaysia sebagaimana Australia berjaya menjadikannya dua per tiga eksport negara.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Rare Earth Technology, Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, nilai sumber berkenaan cukup besar dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pelaksanaan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) dapat dilakukan dengan baik agar mampu membawa negara ke hadapan.

Bagaimanapun katanya, apabila disebut mengenai dana dan pendidikan, tidak bermakna boleh diberi secara rambang sebaliknya fokus kepada bidang strategi yang memang jelas amat diperlukan dalam industri pembuatan, eletroknik, pertanian moden, ‘aerospace’, pertahanan dan sebagainya.

“Di sinilah peranan pendidikan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), kepercayaan kepada ‘local talent’, sebab kalau kita tidak beri peluang sampai bila kita nak dapat peluang ini.

“Australia, Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Kanada yang melabur ke negara kita ini, fikirkan bagaimana mereka dahulu kali pertama diberi peluang.

“Apabila mereka diberi peluang mereka ada pengalaman, bila ada pengalaman mereka boleh ada projek kedua, ketiga dan keempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Dimensi bertajuk ‘Sumber Mineral Bernilai RM4.11 Trilion: Mengapa Negara Masih Mundur? yang disiarkan secara langsung di Facebook TV Pertiwi.

Pada masa sama, beliau mengesyorkan Malaysia mengurangkan atau menghentikan kebergantungan kepada negara luar dalam mendapatkan sumber sebaliknya memanfaatkan sumber yang ada.

Baginya, negara ini tidak kurang dengan polisi dan ia baik dari segi mineral bahkkan pendidikan juga cukup bagus, namun persoalannya mengenai implementasi, ‘political will’ dan ketirisan yang berlaku yang kadang-kadang disebabkan oleh orang sendiri.

“Satu perkara pemimpin negara perlu faham terutamanya dalam pandemik COVID-19 ini kerana pandemik ini satu fenomena luar biasa yang memerlukan satu campur tangan luar biasa untuk mengeluarkan negara daripada kemelut ekonomi pada hari ini.

“Dan kalau kita faham ‘geopolitic international’, bila berlakunya pandemik COVID-19, tindakan atau polisi yang diambil oleh semua negara dalam dunia akan mengambil dasar-dasar tertutup.

“Mereka tidak akan mengeksport atau memberi sumber mentah dan tidak akan sewenang-wenangnya memberi teknologi kepada orang luar kerana mereka juga mengalami masalah ekonomi seperti Malaysia,” katanya.

Pautan Dimensi
https://web.facebook.com/TvPertiwi/videos/2961785247403167/

Tiada ulasan: