Khamis, 14 Oktober 2021

Kerajaan raih RM4.1 bilion hasil levi kelapa sawit

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM 4.1 bilion levi ke atas kelapa sawit memberikan hasil tambahan kepada kerajaan sejak diperkenalkan sehingga September tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, berkata kerajaan menguatkuasakan Akta Levi Keuntungan Luar Biasa (Akta 592) sejak tahun 1999.

Advertisement

“Levi dikenakan ke atas untung yang melebihi paras nilai ambang harga pasaran minyak sawit mentah, iaitu RM2,500 satu tan bagi Semenanjung Malaysia dan RM3,000 satu tan bagi Sabah dan Sarawak,” katanya menjawab soalan Balasubramaniam a/l Nachiappan pada sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Mohd Shahar berkata, kerajaan mengambil maklum pandangan pelbagai pihak supaya levi keuntungan biasa dikenakan kepada perniagaan tertentu yang menjana keuntungan berlipat ganda semasa krisis pandemik Covid-19.

Bagaimanapun setakat ini, katanya kerajaan belum melaksanakan Cukai Keuntungan Modal (CGT) sepenuhnya, namun inisiatif dan kajian yang berterusan sedang dijalankan oleh kerajaan untuk menstruktur semula sistem percukaian yang lebih seimbang dan adil supaya dapat menyokong dan meningkatkan hasil negara.

“Kerajaan perlu berhati-hati dalam memastikan langkah-langkah cukai yang dilaksanakan agar tidak membebankan rakyat, tidak menjejaskan kedudukan ekonomi negara dan dapat meningkatkan daya saing negara, selaras dengan pemulihan negara,” katanya.

Menjawab soalan tambahan, sama ada kerajaan akan mengenakan levi keuntungan luar biasa terhadap syarikat pengeluar sarung tangan Top Glove, katanya ia agak sukar untuk dilaksanakan terhadap syarikat pengeluar produk akhir.

“Paling penting kita mesti melihat satu ekosistem yang lebih luas, bukan hanya melihat kepada levi keuntungan luar biasa kerana hasil negara terbahagi kepada tiga komponen utama, iaitu cukai langsung, cukai bukan langsung dan hasil bukan cukai. Levi (Top Glove) ini berada di bawah hasil bukan cukai.

“Cukai korporat yang dibayar oleh syarikat-syarikat setiap tahun berjumlah hampir 25 peratus daripada jumlah hasil negara. Jadi perkara ini telah dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan, terutama melihat langkah yang terbaik untuk memberi keadilan kepada ekosistem pelaburan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: