Selasa, 26 Oktober 2021

Najib ‘penjenayah VIP’, Dr M persoal kes ditangguh, pasport dikembalikan kepada pemimpin Umno

MALAYSIA NOW

Dr Mahathir mempersoalkan layanan terhadap Najib Razak yang telahpun disabitkan kesalahan jenayah kewangan.

Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan beberapa keputusan mahkamah yang membenarkan pemimpin-pemimpin kanan Umno dan mereka yang berkaitan melakukan perjalanan ke luar negara.

Bekas perdana menteri itu juga turut mempersoalkan penangguhan yang lama dalam menyimpulkan proses rayuan Najib Razak selepas disabitkan kesalahan dan dihukum 12 tahun penjara bagi kes SRC International.

“Keadilan yang ditangguhkan adalah penafian terhadap keadilan. Namun rayuan ini sepatutnya didengar pada bulan April, enam bulan lepas. Sekarang sudah bulan Oktober.

“Tetapi orang ini sudah kena hukum, tetapi tak masuk penjara, dan dapat escort macam VIP.

“Penjenayah VIP pertama di Malaysia,” kata Mahathir pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Ulasan beliau tersebut tampil susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan ini yang membenarkan Najib melakukan perjalanan ke Singapura untuk melawat anak perempuannya, salah satu keputusan yang menyaksikan beberapa individu penting berdepan pertuduhan rasuah mendapat semula pasport mereka untuk sementara waktu.

Najib yang kini dalam proses merayu sabitan tujuh pertuduhan berprofil tinggi melibatkan RM42 juta dana SRC International yang dikaitkan dengan 1MDB, juga turut memohon supaya tarikh perjalanan ke Singapura ditangguhkan bagi menumpukan perhatian kepada kempen Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diadakan November depan.

Tiada ulasan: