Selasa, 26 Oktober 2021

Larangan berhimpun, PKR bimbang peluang tipis untuk menang PRN


Peluang untuk PKR menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tipis susulan larangan segala bentuk perhimpunan yang diumumkan, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Setiausaha Agung PKR itu berkata gabungan blok pembangkang pada awalnya berpeluang cerah untuk menang besar dalam PRN Melaka namun pengumuman larangan tersebut akan menyebabkan peluang tidak sama rata apabila terpaksa bersaing dengan lawan yang menguasai media.

“Garis panduan ini sangat jelas, ia akan mewujudkan padang permainan yang tidak sama rata antara parti yang bertanding. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) saran calon yang bertanding menggunakan stesen televisyen.

“PKR tiada stesen televisyen. RTM milik kerajaan, dan TV3 adalah stesen swasta. Masa siaran sangat mahal dan di luar keupayaan parti. Jadi, siapa ada kelebihan?” katanya dipetik laporan portal BH.

Beliau mendakwa peluang UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menang lebih cerah kerana mempunyai kelebihan memandangkan mereka mempunyai sumber kewangan yang lebih banyak dan berkemungkinan akan memanipulasi media demi kepentingan politik.

“Tentunya parti kerajaan yang memerintah hari ini, iaitu UMNO, Barisan Nasional (BN) dan gabungannya.

“Ini meletakkan PKR dan pembangkang dalam keadaan lemah, kekurangan dan ini cabaran baharu buat parti. Kini, kami sedang mengumpul seluruh potensi yang arif dalam teknologi maklumat dan media sosial,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan larangan semua bentuk majlis dan perhimpunan berkaitan PRN Melaka, termasuk pelancaran jentera pilihan raya, berkuat kuasa esok hingga 27 November depan.

Larangan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu dibuat bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes mendadak akibat PRN Melaka.

Bagaimanapun, larangan tersebut dibantah blok pembangkang, Pakatan Harapan termasuk UMNO yang menyifatkan ia sebagai melanggar prinsip demokrasi walhal krisis kesihatan Covid-19 masih melanda negara.

Tiada ulasan: