Isnin, 4 Oktober 2021

Guru enggan divaksin tak mengajar secara bersemuka di sekolah lain

 MALAYSIA POST

Guru enggan divaksin tak mengajar secara bersemuka di sekolah lain

MENTERI Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin hari ini menjelaskan kenyataan beliau berhubung guru yang masih enggan divaksinasi kemungkinan besar akan ditukar, tidak bermaksud boleh mengajar secara bersemuka di sekolah lain.

Beliau menegaskan, keputusan tidak membenarkan kira-kira 2,000 guru yang enggan menerima vaksin untuk mengajar secara bersemuka tidak akan menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran sama ada di sekolah atau di rumah.

“Kita sudah teliti mereka di sekolah mana dan mata pelajaran apa yang mereka ajar, sebab itu apabila saya sebut bahawa ada kemungkinan besar kena ditukar ini tak bermaksud apabila ditukar ke sekolah lain dan (mereka boleh) ajar bersemuka.

“Ada hampir semua guru yang mengajar subjek sama enggan divaksinkan, sebab itu kita buat ketetapan guru-guru ini perlu dibawa keluar (dari sekolah).

“Sebab itu ada pertukaran sama ada dalam atau luar negeri untuk memastikan perjawatan yang ada itu tidak terjejas. Buat masa ini guru-guru ini diberi tugasan yang lain,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau persiapan pembukaan semula sekolah di Kolej Vokasional Langkawi hari ini.

Baru-baru ini, Radzi dilaporkan berkata guru yang menolak vaksin Covid-19 mungkin ditukar jika tindakan mereka menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid terjejas.

Beliau berkata demi kepentingan perkhidmatan dan keselamatan pelajar, pihaknya sedang melihat cara untuk membawa keluar guru terbabit dari sekolah yang bermasalah dan antara penyelesaian ialah melakukan pertukaran tempat mengajar.

Sementara itu, Radzi berkata lebih 80 peratus pelajar Tingkatan Lima dan Enam di seluruh negara sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 dan pelaksanaan vaksinansi tersebut berjalan dengan baik. – Malaysiapost

Tiada ulasan: