Wednesday, September 22, 2021

Dewan Rakyat: Tiga pendekatan cerdaskan ekonomi negara - Azmin Ali

Hasimi Muhamad
Dewan Rakyat: Tiga pendekatan cerdaskan ekonomi negara - Azmin Ali
MOHAMED AZMIN: Ekonomi negara berada pada landasan terbaik dalam merangsang permintaan domestik susulan vaksinasi dalam kalangan dewasa telah mencecah 80 peratus. -Gambar BERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Tiga pendekatan utama akan digunakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam mencerdaskan ekonomi negara susulan ancaman pandemik COVID-19.
 
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia termasuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang akan dijadikan sebagai pemangkin untuk membuka semula ekonomi secara selamat dan bersistematik.
 
Jelas beliau, ekonomi negara berada pada landasan terbaik dalam merangsang permintaan domestik susulan vaksinasi dalam kalangan dewasa telah mencecah 80 peratus.
 
"Perkembangan ini merupakan landasan terbaik dalam merangsang permintaan domestik.
 
"Kedua, Kerajaan juga akan terus memperkukuhkan asas-asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar-dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus, serta mesra-perniagaan, atau business-friendly.
 
"Ini termasuklah usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan bagi meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Rabu.
 
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata pendekatan ketiga adalah Malaysia akan terus mensasarkan pelaburan berkualiti tinggi, berorientasikan teknologi termaju, berpandukan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).
 
Ia katanya, akan turut memberi fokus kepada kelestarian jangka masa panjang, dengan menekankan elemen alam sekitar, sosial serta tadbir urus.

Tambah beliau, NIA yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 21 April lalu adalah sebagai usaha memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
 
Dalam masa yang sama, Mohamed Azmin berkata meskipun berhadapan dengan situasi pandemik COVID-19 yang mencabar, Malaysia masih kekal kompetitif dan berdaya saing dalam menarik pelaburan ke dalam negara.
 
Katanya, kerajaan yakin bahawa kedudukan Malaysia yang strategik, persekitaran perniagaan dan ekosistem yang kondusif, serta inisiatif-inisiatif strategik berkaitan pelaburan akan terus menjadikan negara ini sebagai destinasi terpilih di rantau ini.
 
"MITI mengulangi tekad untuk terus mengadakan libat urus dengan semua kedutaan-kedutaan asing dan juga dewan-dewan perniagaan asing seperti AMCHAM, JACTIM, EUROCHAM, KOCHAM dan lain-lain dalam memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan pelabur-pelabur asing," katanya.
 
Beliau dalam masa sama sekali lagi memaklumkan Malaysia terus merekodkan pencapaian yang memberangsangkan.
 
Bagi tempoh Januari hingga Jun, sejumlah RM107.5 bilion pelaburan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama direkodkan, melibatkan 2,110 projek yang dijangka dapat menjanakan 44,994 peluang pekerjaan.
 
Pelaburan langsung asing yang diluluskan bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 melonjak dengan ketara sebanyak 214.9 peratus kepada RM62.5 bilion berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu (RM19.8 bilion).

No comments: