Wednesday, September 22, 2021

Boleh 'hentam', tetapi saya pilih untuk utamakan rakyat - Muhyiddin

Nickyson Nyambar
Boleh 'hentam', tetapi saya pilih untuk utamakan rakyat - Muhyiddin
Sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan kini tetap meneruskan agenda membantu rakyat dalam peralihan fasa pandemik ke endemik ini. - Gambar Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan sedia ada akan meneruskan agenda untuk memulihkan negara dari pandemik COVID-19 dan mengutamakan kebajikan rakyat seperti yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu.
 
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, ini termasuk memberikan perhatian terhadap mengangkat kembali sektor ekonomi negara dan bukannya terhadap krisis politik yang berpanjangan.
 
"Saya sudah 45 tahun dalam kancah politik, saya tahu politik, bukan saya tidak tahu berbahas, hentam lawan (dalam politik). Tetapi saya tahu rakyat susah, saya akan dimarahi kalau saya buat begitu kerana kes tidak selesai tetapi kita bergaduh sesama sendiri, berebut kuasa.
 
"Kerana itu, saya sebagai Perdana Menteri (dahulu) dan walaupun tidak lagi kini, (fokus) adalah untuk membantu rakyat. Itu bagi saya paling penting, paling utama. That is what we have been doing and I think we have been quite successful in that area," jelas beliau ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
 
Beliau pada masa sama memuji langkah kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru-baru ini memeterai kerjasama dwipartisan menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama Pakatan Harapan (PH) diatas dasar untuk membawa kestabilan kepada negara. 
 
"Bagi saya kalau itu dapat kita lakukan tidak kira, asalkan tidak ada gangguan politik yang berpanjangan. (Seperti) baru-baru ini yang saya lihat MoU Kerajaan dan Pakatan Harapan dapat meredakan (keadaan) dan memberikan lebih masa untuk menumpukan kerja induk.
 
"It is about recovery, itu penting bagi kita. Jadi itu kalau dapat kita kurangkan, kita dapat membantu rakyat," tambah beliau.

No comments: