Ahad, 1 Ogos 2021

Sukar bernafas, Fazli Zainal dikejarkan ke hospital

Oleh MOHAMMAD SHAHEMY AZMI
 
FAZLI memberitahu dia telah disahkan positif Covid-19 sejak Ahad lalu namun hari ini mula mengalami simptom sesak nafas.

PETALING JAYA – Penyanyi Fazli Zainal terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menerima alat bantuan pernafasan selepas bacaan oksigen dalam badannya berada pada tahap tidak normal iaitu 75 disebabkan positif Covid-19.

Fazli atau nama sebenarnya Fazdli Zainal, 44, ketika dihubungi Kosmo! Online memaklumkan bahawa dia kini berada di Hospital Ampang dan sedang menunggu ujian darah dan sinar-X yang dilakukan oleh pasukan perubatan di sana.

“Oksigen dalam badan saya rendah iaitu 75 berbanding normal iaitu 95. Bila waktu malam saya selalu sukar untuk bernafas dan batuk.

“Hari ini, saya rasa tidak sedap badan dan minta kawan untuk hubungi ambulan dan dibawa ke Hospital Ampang,” katanya.

Ujar pelantun lagu Harapan itu lagi,  dia telah diberi bantuan alat pernafasan kerana dikhuatiri tahap bacaan oksigen dalam badannya akan turun dengan mendadak ketika tiba di hospital.

Katanya, dia telah disahkan positif Covid-19 sejak Ahad lalu selepas menjadi kontak rapat seseorang sebelum dia mengambil keputusan untuk melakukan ujian calitan.

“Selepas disahkan positif, saya pergi ke Pusat Penilaian Covid-19 pada keesokan harinya dan disuruh untuk menjalani kuarantin di rumah memandangkan keadaan saya berada pada tahap satu dan dua.

“Selasa lalu saya mula demam dan hanya makan ubat sahaja. Cuma hari ini saya rasa sesak nafas dan dibawa ke hospital,” jelasnya.

Sempat berkongsi gambar keadaannya di hospital, Fazli memaklumkan bahawa buat masa ini dia ditempatkan di wad kecemasan memandangkan Hospital Ampang mempunyai masalah kekurangan katil di wad.

Terdahulu, berita tentang keadaan Fazli telah dikongsi oleh rakan artis iaitu penyanyi Sharifah Zarina apabila memaklumkan bahawa penyanyi itu terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah kekurangan oksigen dalam badan.

“Mohon doa kalian buat sahabat artis, Fazli Zainal. Dia telah dibawa Kementerian Kesihatan Malaysia ke Hospital Ampang.

“Tahap oksigen dia dah jatuh sehingga paras 75 dan perlukan bantuan oksigen. Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha menyembuhkan,” kongsi penyanyi tersebut. -K! ONLINE

Tiada ulasan: