Jumaat, 27 Ogos 2021

JPN Melaka kenal pasti 41 guru enggan divaksin

 Siti Hafidah

94 peratus guru sudah terima sekurang-kurangnya satu dos suntikan

BANGI– Isu guru enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 bukan sahaja berlaku di Johor bahkan perkara sama turut dikesan di Melaka.

Di negeri itu, seramai 41 daripada 13,800 guru dikenal pasti enggan menerima suntikan vaksin COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, sesi libat urus akan diadakan pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi mendekati guru itu supaya bersetuju menerima vaksin dalam masa terdekat.

Katanya, dalam tempoh sebulan ini pihaknya bersama JPN akan mengambil langkah mendekati kumpulan guru itu

“Jumlah guru di negeri ini ialah seramai 13,800 dan daripada jumlah itu kira-kira 0.2 peratus tidak mahu menerima vaksin.

“Mereka ini saya tidak mahu melabelkan sebagai antivaksin, mungkin mereka tidak faham atau belum terbuka hati lagi,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Noor Effandi berkata, setakat ini seramai 94 peratus guru sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin manakala 479 sedang menunggu janji temu.

“Dengan kerjasama erat JPN dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) kita boleh capai 100 peratus guru divaksin sebelum Oktober depan,” katanya.

Katanya, semua guru perlu memainkan peranan dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) memandangkan sekolah dijangka akan dibuka secara berperingkat mulai awal Oktober.

Tiada ulasan: