Isnin, 30 Ogos 2021

Jangkitan semakin turun, hanya 4 negeri rekod peningkatan


Jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun di bawah paras 20,000, tatkala 12 daripada 16 negeri dan wilayah di seluruh negara merekodkan penurunan.

Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang menjadi titik panas penularan Covid-19 juga turun dengan Selangor merekodkan 3,567 kes berbanding 4,591 semalam, manakala Kuala Lumpur mencatatkan 672 kes baharu (680 semalam). Putrajaya mencatatkan 41 kes baharu (48 semalam).

Empat negeri merekodkan peningkatan jangkitan baharu hari ini membabitkan Johor sebanyak 2,265 kes berbanding 1,852 semalam; Kedah (2,084 hari ini, 1,755 semalam); Pulau Pinang (1,780 hari ini, 1,378 semalam); dan Perlis (71 hari ini, 56 semalam).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam itu 19,268 jangkitan baharu dilaporkan, turun berbanding 20,579 kes semalam, dan 22,597 (Sabtu).

Angka itu menjadikan kumulatif kes sejak wabak Covid-19 mula melanda negara pada awal tahun lalu kepada 1,725,357 kes, katanya dalam kenyataan hari ini.

Buat pertama kalinya, Selangor melaporkan jangkitan baharu di bawah 4,000 kes. Kali terakhir negeri itu melaporkan kes di bawah 4,000 adalah pada 7 Julai 2021.

Tiada ulasan: