Ahad, 29 Ogos 2021

Negeri Sembilan hantar bekalan air ke Terengganu

SEREMBAN: Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) menghantar bekalan air ke Terengganu bagi membantu Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) yang menghadapi masalah tekanan air rendah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pihak SAINS menghantar sebuah lori tangki berkapasiti 1,200 gelen berserta dua kakitangan.

"Semalam, SAINS sekali lagi menghantar sebuah lori tangki berkapasiti 1,200 gelen bersama dua kakitangan ke Terengganu bagi membantu SATU.

"Bantuan dihulurkan berikutan paip 'pumping' 1,200 mm di dasar Sungai Terengganu pecah semula menyebabkan penutupan penuh operasi di Loji Rawatan Air (LRA) Kepong 2," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penutupan terbabit mengakibatkan gangguan bekalan air kepada lebih 28,700 akaun pengguna di sebahagian besar Daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

"Semoga usaha SAINS ini dapat membantu SATU meringankan beban pengguna di kawasan yang terjejas, terutama dalam situasi pandemik COVID-19 yang mencabar ini.

"Saya juga berdoa agar LRA Kepong 2 dapat dibaiki dengan segera dan bekalan air kembali dipulihkan bagi pengguna yang terjejas, insya-Allah," katanya.

BH Online sebelum ini melaporkan Penduduk di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sekali lagi terpaksa berdepan masalah gangguan bekalan air, susulan berlaku tekanan air rendah sejak awal 23 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr Mamad Puteh dilaporkan berkata, SATU mengesan masalah itu pada jajaran paip ke Tangki Utama Berangan yang berada pada paras tidak normal.

Tiada ulasan: