Sabtu, 28 Ogos 2021

Ujian saringan peluh Covid-19 pertama dunia

 Oleh KOSMO!

Alat ujian saringan peluh Covod-19 (kanan) pertama di dunia yang dibangunkan oleh Universiti Chulalongkorn, Thailand. - The Nation

BANGKOK – Pasukan penyelidik dari Universiti Chulalongkorn telah menghasilkan ujian saringan Covid-19 menggunakan sampel peluh yang pertama di dunia, lapor akhbar The Nation Thailand, semalam.

Kit saringan mudah alih itu digunakan untuk mengesan bau di dalam titisan peluh yang mempunyai tanda jangkitan virus tersebut.

Setiap sampel mengambil masa hanya 15 minit untuk dikumpulkan dan memberikan keputusan dalam tempoh 30 saat.

Ujian saringan menggunakan peluh ini juga sudah digunakan dalam pemeriksaan masyarakat di Thailand, baru-baru ini.

Menurut kenyataan dari Universiti Chulalongkorn, ujian baharu ini dibangunkan  berdasarkan kejayaan projek ‘Ujian Anjing Pengesan Covid-19’, kerjasama dengan syarikat Chevron.

Universiti itu juga mengatakan bahawa kit ujian peluh mudah alih Covid-19 itu akan menambahkan kecekapan anjing pengesan Covid-19 sekali gus meluaskan saringan besar-besaran penduduk Thailand.

“Kami mengambil sampel pesakit positif Covid-19 yang dikesan oleh anjing dan menyaring kandungan kimia berkaitan virus di dalamnya.

“Berdasarkan sampel yang diperoleh, kami mendapati bahawa individu yang dijangkiti Covid-19 menghasilkan bahan kimia dalam peluh yang berbeza.

“Oleh itu, kami menggunakan penemuan ini untuk menghasilkan  alat bagi mengesan bau khusus yang dihasilkan oleh bakteria tertentu dalam peluh pesakit Covid-19,”kata Pembantu Profesor, Chadin Kulsing dari Jabatan Kimia Universiti Chulalongkorn.

Chadin menambah, kaedah ini adalah kali pertama di dunia di mana Covid-19 dikesan melalui kewujudan bahan kimia ini.

Peluh manusia mempunyai lebih daripada 100 bau unik yang terhasil daripada penggunaan deodoran, bakteria pemakan peluh dan rembesan kulit yang lain.

“Bagi mereka yang dijangkiti Covid-19, bakteria bertindak balas terhadap virus dan menghasilkan bau khusus,” jelas Chadin.

Untuk mengembangkan alat ujian peluh mudah alih, beliau menggunakan alat analisis kimia toksik mudah alih dengan tambahan penapis untuk mengesan virus.

Kit ujian ini hanya terdiri daripada kapas dan botol kaca.

Pelapik kapas diletakkan di bawah ketiak kira-kira 15 minit, kemudian diletakkan di dalam kaca yang disterilkan dengan sinar ultra ungu.

“Juruteknik akan mengambil sejumlah sampel yang sesuai dengan menggunakan penyedut khas dan menekan keluar titisan peluh pada penganalisis untuk mendapatkan keputusan,” jelas Chadin.

Kelebihan kaedah ini adalah bahawa ia dapat disesuaikan untuk mengesan varian virus melalui tanda peluh yang unik bagi setiap orang.

Dalam ujian lapangan yang melibatkan 2,000 peserta, ujian peluh dilakukan setanding dengan ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi balikan (PCR) dengan tahap kepekaan sebanyak 95 peratus dan ketepatan sehingga 98 peratus.

Walau bagaimanapun, Chadin tetap menasihatkan bahawa individu yang positif dalam ujian peluh perlu mendapatkan ujian PCR untuk pengesahan kedua. -Agensi

Tiada ulasan: