Selasa, 31 Ogos 2021

Tujuh lokaliti di Kelantan, Pahang dan Sabah dikenakan PKPD

GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK tujuh lagi lokaliti di tiga negeri akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes positif COVID-19.

PKPD terbaharu itu melibatkan kawasan di Kelantan, Pahang dan Sabah.

Pelaksanaan PKPD di tujuh lokaliti akan dilaksanakan bermula Rabu ini selama dua minggu.

Perkara berkenaan diumumkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad dalam kenyataan hari ini.

Keputusan melaksanakan PKPD di tujuh lokaliti di Kelantan, Pahang dan Sabah itu dilakukan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

Menurut beliau, Kelantan menjadi negeri tertinggi pelaksanaan PKPD kali ini yang melibatkan tiga kawasan yang kesemuanya terletak dalam mukim Olak Jeram, Kuala Krai.

“Ia melibatkan Kampung Lata Tual, Kampung Tob Uban dan Kampung Kubang Kerian,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Selain itu, kawasan yang dikenakan PKPD di Sabah adalah Kampung Lotong, Kota Marudu dan Kampung Penangah, Tongod.

Dua lokaliti yang dikenakan PKPD di Pahang adalah di Kampung Batu Papan dan Kampung Batu Papan Tengah di daerah Bera.

Sementara itu PKPD di Kampung Temalian di Raub, Pahang dan Kampung Hidayat di Tawau, Sabah yang sepatutnya tamat esok turut dilanjutkan bagi tempoh sama hingga 14 Sept ini, manakala tujuh lokaliti PKPD di Pahang dan Sabah pula ditamatkan esok.

Tiada ulasan: