Sabtu, 31 Julai 2021

Perkuburan Islam khusus untuk pesakit Covid-19 diteliti

 

Suasana malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam terang benderang ketika petugas khas mengebumikan jenazah mangsa Covid-19. - Gambar oleh Shahir Omar/Astro Awani

Kerajaan sedia meneliti membuka tanah perkuburan Islam khas untuk pengebumian jenazah pesakit Covid-19 jika perlu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Sehubungan itu katanya perkara berkenaan akan dibincang bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti negeri-negeri terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan serta saranan berhubung keperluan itu.

“Kami perlukan dapatan dan perbincangan, setakat ini tumpuan adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terlebih dahulu.

“Sekurang-kurangnya kami dapat memberi satu cara yang terbaik dalam menguruskan mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 200 pengusaha kantin dan pekerja pembersihan secara pandu lalu anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), di Port Dickson, hari ini.

Beliau berkata setakat hari ini, Yadim telah membelanjakan lebih RM1 juta bagi membantu rakyat di seluruh negara terutama yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

Sementara itu, Zulkifli menasihatkan pihak yang mempunyai perbezaan pendapat dan idea agar tidak menggunakan media sosial sebagai medan bertelagah atau berdebat, sebaliknya perlu berdamai serta berunding secara baik.

“Saya yakin perkara sekusut mana pun akan dapat diselesaikan, justeru buanglah yang keruh dan ambil yang jernih. Sentiasalah bermaafan dan muhasabah diri, maka kita boleh ke depan terutama dalam memberi bantuan, menyampaikan dakwah sekali gus menyatukan ummah,” katanya.

Tiada ulasan: