Selasa, 31 Ogos 2021

Kes saman RM2.5 juta Siti Nordiana terhadap 5 individu dibicara 29 September


MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini, menetapkan 29 September ini untuk perbicaraan kes saman fitnah penyanyi Siti Nordiana Alias terhadap lima individu termasuk penyanyi Lan Solo dan Syura.

Menurut peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana, mahkamah menetapkan 29 dan 30 September ini untuk perbicaraan kes itu yang akan diadakan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.

“Mahkamah mengarahkan plaintif dan defendan memfailkan dokumen praperbicaraan dan pernyataan saksi dua minggu sebelum perbicaraan bermula,” katanya Abang Azlan kepada media, selepas selesai prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan secara e-Review.

Harian Metro melaporkan, turut hadir pada prosiding itu, peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, isterinya Nur Sheila Hassim dan Zuraidah Badron atau Syura, manakala peguam Nurul Hafidzah Hassan bertindak bagi pihak Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi.

Siti Nordiana, 37, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates dengan menamakan Lan Solo, Nur Sheila dan Syura, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Sam Musyadzafar dan jurusolek artis bebas Aida G.

Dalam saman itu, Siti Nordiana menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Writ saman yang dihantar secara e-mel itu, turut menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan amaun ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.

Plaintif turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang ditentukan oleh mahkamah. -UtusanTV

Tiada ulasan: