Ahad, 29 Ogos 2021

`Tsunami Jerai’: RM1.1 juta baik pulih sawah, bantu petani terjejas

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
HASLINA Abdul Hamid (kiri) bertanya khabar dua petani yang mengalami kerugian selepas tanaman mereka rosak akibat kejadian kepala air di Gunung Jerai di Yan hari ini.

YAN: Kerajaan memperuntukkan  RM1.1 juta bagi membaik pulih seluas 34 hektar kawasan sawah padi di Kampung Titi Bakong dan Kampung Rendang Pasir di sini yang musnah dalam kejadian banjir lumpur akibat kepala air dari Gunung Jerai, 18 Ogos lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, peruntukan tersebut sebahagian daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM75 juta yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika meninjau lokasi bencana  Selasa lalu.

“Peruntukan RM495,000 akan digunakan bagi membaiki kerosakan infrastruktur termasuk jalan ladang, tali air konkrit, membaiki paip bekalan pengairan, mencuci dan menyenggara pam guna semula.

“Sebanyak RM555,000 lagi untuk kegunaan membaik pulih sawah yang melibatkan kerja-kerja mengeluarkan enapan di dalam bendang, pitaran tanah sawah, perataan tanah dan pemulihan kesuburan tanah,” katanya ketika meninjau kawasan terlibat di Yan dan Kuala Muda hari ini.

Jelasnya, kesemua tanaman padi yang terjejas berusia antara 75 hingga 100 hari dan ditenggelami air sedalam 1.2 meter.

Beliau menambah, selain itu, peruntukan sebanyak RM50,000 akan digunakan untuk bantuan pembatalan musim tanaman 2/2021 di bawah Skim Pengairan Lubok Boi dengan keluasan 15 hektar.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan kerjasama jabatan dan agensi khususnya Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang juga menggerakkan segala jentera dalam usaha untuk memulihkan dan memperbaiki kerosakan yang berlaku termasuk sistem pengairan yang terjejas.

“Laporan keseluruhan kerosakan bencana khususnya sektor tanaman lain selain padi, termasuk ternakan dan perikanan dalam daerah Yan dan Kuala Muda dianggarkan bernilai RM286,000,” katanya.

Jelas beliau, nilai kerosakan itu meliputi sektor tanaman dan industri tani dengan anggaran kerosakan sebanyak RM222,000, manakala sektor lain seperti ternakan haiwan dan ikan pula membabitkan nilai kerugian sebanyak RM64,000.

Katanya, program MAFI Prihatin dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama jabatan dan agensi  di bawah MAFI serta syarikat swasta dengan sasaran utamanya adalah golongan petani, penternak, nelayan dan barisan hadapan negara. 

“Program ini juga turut meliputi bantuan kepada badan kebajikan, rakyat dan penduduk yang terkesan disebabkan pandemik serta lain-lain bencana dan juga bantuan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Selain itu, Haslina turut menyampaikan 100 Bakul Makanan MAFI Prihatin kepada petani, penternak dan nelayan yang terkesan akibat bencana ini.- UTUSAN

Tiada ulasan: