Jumaat, 27 Ogos 2021

Husam diperintah bayar ganti rugi RM100,000 kepada KPK

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan Husam Musa membayar ganti rugi RM100,000 kepada Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd (KPK), pada Rabu.

Mahkamah juga menetapkan Husam perlu membayar kos tindakan RM110,933.92 terhadap penghakiman yang telah direkodkan terhadap dirinya sebelum ini iaitu pada 1 Oktober 2019.

Menurut peguam KPK, Wan Muhamad Hafiz Wan Zawawi, penghakiman itu merupakan satu tindakan saman fitnah yang difailkan KPK terhadap kenyataan-kenyataan Husam yang dibuatnya sehingga menjejaskan reputasi dan imej KPK.

“Ia termasuk kenyataan-kenyataan dari Facebook Husam, ceramah-ceramahnya yang disifatkan mahkamah memberi impak buruk kepada nama baik KPK,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada 2017, Husam dalam ceramah dan hantaran Facebook telah mendakwa KPK melanggar hak Orang Asli dengan menceroboh tanah Orang Asli di Gua Musang.

Pemimpin Amanah itu juga mendakwa dan menyebarkan kononnya KPK telah ditutup dan berlaku penyelewangan dalam syarikat terbabit.

Berikutan itu, KPK memfailkan tindakan fitnah terhadap Husam kerana tanah yang didakwa diceroboh tersebut bukan dalam konsesi KPK.

KPK juga tidak ditutup, malah masih beroperasi sehingga sekarang dan tidak berlaku sebarang penyelewengan dalam urusan dan pentadbiran KPK.

Terdahulu, Husam pernah memfailkan permohonan mengenepikan dan membatalkan penghakiman bertarikh 1 Oktober 2019 terhadap dirinya itu, tetapi telah ditolak oleh mahkamah.

Perintah terhadap ganti rugi dan kos itu telah didengar dan diputuskan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Husam diwakili oleh peguam Murtadza dan Vankendesh daripada Tetuan Zayumi Murtadza & Co manakala KPK diwakili oleh peguam Wan Muhamad Hafiz Wan Zawawi daripada Tetuan Afifah, Wan & Aimi Shazwani. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: