Khamis, 26 Ogos 2021

Wanita hamil perlu ambil vaksin elak risiko jangkitan kategori 3, 4 dan 5

 Oleh Athirah Huda Zalhe

Waspada, pelbagai varian baharu dan berbahaya muncul sekarang

BANGI – Wanita mengandung masih perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, meskipun sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

Meskipun kadar peratusan untuk mendapat jangkitan COVID-19 di tahap 3, 4 dan 5 berkurang setelah menerima dua dos vaksin, wanita hamil masih perlu berwaspada dan mengelakkan diri daripada dijangkiti.

Ini kerana, kehamilan itu sendiri adalah salah satu risiko untuk mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk, meskipun individu terbabit tiada komorbid, kata aktivis Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (i-Medik), Dr Ahmad Muslim Ahmad Roslan.

“Bagaimanapun, jika sudah lengkap dua dos vaksin, risiko untuk mendapat jangkitan di tahap teruk itu boleh menjadi rendah.

“Cuma, ibu hamil masih perlu menjaga SOP sebaiknya, kerana masih ada kes yang lengkap vaksin tetapi masih dapat COVID-19 kategori 3 ke atas.

“Apatah lagi dengan pelbagai varian baharu dan berbahaya yang muncul sekarang,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, vaksin lengkap adalah antara usaha mengurangkan risiko jangkitan lebih teruk, dan atas sebab itu Kementerian Kesihatan (KKM) mempercepatkan ibu-ibu mengandung untuk segera divaksinasi.

“Sebelum ini daripada 14 minggu ke 33 minggu kandungan untuk mendapatkan vaksin, namun sekarang ibu yang kandungannya 12 minggu ke atas pun sudah dibenarkan untuk mengambil vaksin.

“Dengan vaksin lengkap, risiko dapat dikurangkan. Jika lihat trend sekarang, kebanyakan kategori 3 hingga 5 adalah tidak divaksin atau belum lengkap dua dos vaksin,” katanya.

Dr Ahmad Muslim berkata, sekiranya ibu hamil mempunyai keperluan untuk berada di luar atau bekerja, maka amalan SOP ketat perlu dipatuhi untuk mengelakkan jangkitan.

“Berbincanglah dengan majikan sekiranya pekerjaan itu mempunyai risiko jangkitan yang tinggi.

“Pada masa sama, pastikan SOP ketika berada di luar dan tempat kerja dipatuhi, selain mengurangkan kontak dengan ramai orang,” katanya.

Tiada ulasan: