Selasa, 31 Ogos 2021

Kenali sejarah untuk bangkit daripada kemelut – PM

Ismail Sabri

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan setiap negara yang mahu bangkit daripada sebarang kemelut perlu mengenali sejarah.

Beliau berkata, individu yang mengenali sejarah akan memiliki jata diri kukuh dan saling menghormati serta fikiran yang fokus dalam mengatasi apapun cabaran sebagai sebuah keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia.

Justeru beliau mengajak Keluarga Malaysia menyusur sungai sejarah perjuangan bangsa mempertahankan kemerdekaan dan merebut kembali tanah air selepas dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

“Perjuangan menuntut kemerdekaan selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua telah menyatukan seluruh kepimpinan tanpa mengira garis politik dalam menolak gagasan Malayan Union.

“Inilah sebenarnya semangat dan perjuangan yang telah wujud sejak dulu lagi, dengan matlamat mencapai kemerdekaan tanah air,” katanya ketika menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan ke-64 di saluran televisyen tempatan malam tadi.

Beliau berkata, nilai kemerdekaan negara ini terus dipelihara oleh kesemua Perdana Menteri Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. -K! ONLINE

Tiada ulasan: