Sabtu, 28 Ogos 2021

TMJ selesai bertemu guru-guru tolak vaksin

Ainul Illia

396 tolak kerana ragu-ragu, selebihnya kerana kesihatan tak izinkan

JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap sebilangan guru yang didakwa menolak vaksin di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, hari ini.

Baginda bertitah, seramai 396 daripada 779 orang guru yang asalnya menolak vaksin, tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadapnya.

“Saya telah mendengar ulasan daripada para guru mengenai isu-isu yang mereka hadapi.  

“Daripada 779 orang guru yang asalnya menolak vaksin, didapati hanya 396 yang tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap vaksin. 

“Yang bakinya telah mengambil pendirian untuk ditangguhkan buat masa ini, kerana mempunyai alahan, mengandung ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan,” titahnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Manakala, sebilangan guru kini telah bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin, titah Tunku Ismail.

Dalam perjumpaan itu juga, baginda telah berkongsi info mengenai program vaksinasi di Johor dan situasi terkini pandemik COVID-19 di negeri ini.

“Saya berharap guru-guru ini sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa mengetengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik dan berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” titahnya.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Mohd Noh Ibrahim; Mufti Johor (secara maya), Sohibus Samahah Datuk Yahya Ahmad dan Timbalan Mufti Johor, Sohibus Samahah Datuk Ahmad Faisal Mohamed. 

Terdahulu, pada 22 Ogos lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang mendedahkan kira-kira 779 guru di negeri ini dilaporkan menolak untuk menerima vaksin COVID-19.

Susulan itu, Tunku Ismail telah menitahkan untuk bertemu guru-guru tersebut, hari ini.

Tiada ulasan: