Khamis, 26 Ogos 2021

Kerusi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk pembangkang - Azalina

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, mencadangkan supaya kerusi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dikosongkannya Isnin lalu, diisi oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Azalina berkata, ia adalah satu langkah yang boleh dilaksanakan bagi memastikan Dewan Rakyat benar-benar dapat berfungsi sebagai forum bagi persaingan dan kerjasama profesional antara parti, mengenai dasar dan tadbir urus negara.

Bagaimanapun, katanya, usul berhubung lantikan itu perlu dikemukakan oleh pihak kerajaan supaya ia benar-benar menepati kehendak kerjasama pelbagai parti, selain menjadi peluang terbaik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memberi isyarat ke arah perubahan.

"Jika usul itu dibawa oleh pembangkang, akan berlaku satu pagi pusingan undi percaya dan pergaduhan.

"Usaha untuk melakukan reformasi akan mengambil masa. Ia bukan sesi satu hari dan bukan semua orang dapat melakukannya kerana memerlukan banyak rundingan dengan pihak berkepentingan.

"Bagaimanapun, ini (lantikan Ahli Parlimen pembangkang sebagai Timbalan Yang Dipertua) adalah sesuatu yang boleh dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi webinar bertajuk "Pelan Hala Tuju Reformasi Parlimen Semasa dan Selepas Pandemik" anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), hari ini.

Sesi webinar itu dikendalikan Profesor Pengajian Tadbir Urus, Institut Jeffrey Cheah mengenai Asia Tenggara, Sunway University, Prof Wong Chin Huat.

Azalina berpandangan, jika kerajaan dapat melakukan perkara itu dan mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen, ia akan menjadi sejarah yang hebat bagi Parlimen Malaysia.

"Ia menunjukkan isyarat yang kita mahu Parlimen menjadi platform profesional," katanya.

Mengenai pelantikan mereka yang bukan Ahli Parlimen sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi mengelakkan berlakunya keputusan berat sebelah, Azalina berkata, ia bukan satu keperluan.

"Berat sebelah itu amat subjektif. Kadangkala berat sebelah itu berlaku disebabkan kaum, gender, kawan lama dan kawan universiti.

"Apa yang saya mahu tekankan adalah tidak penting sama ada Ahli Parlimen atau bukan, beliau mesti seseorang yang memahami apabila beliau memegang jawatan itu, beliau perlu berfungsi tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Bagi saya, jawatan itu perlu dipegang dalam kalangan Ahli Parlimen kerana kita lebih mengenali antara satu sama lain dan lebih mudah untuk berkomunikasi," katanya.

Azalina memaklumkan mengenai peletakan jawatannya sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Isnin lalu, antara lain disebabkan terdapat konflik peranan dan tanggungjawab antara tugasnya sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ahli Parlimen dalam sebuah kerajaan gabungan.


Tiada ulasan: