Ahad, 29 Ogos 2021

Tukar jawatan tiada kaitan dengan isu darurat: Takiyuddin

HAZELEN LIANA KAMARUDIN


Takiyuddin menampal Jalur Gemilang pada kenderaan orang awam semasa melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara Ke-64 di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu pada Sabtu.

KOTA BHARU - Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan pertukaran bidang tugas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli tidak mempunyai kaitan dengan isu darurat baru-baru ini.

Takiyuddin tanpa berselindung menyifatkan perubahan tugas itu sebagai perkara biasa dan ia sebahagian daripada perancangan kerajaan baharu di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan.

"Ini kerajaan baharu dan pastinya Perdana Menteri mempunyai perancangannya yang tersendiri.

"Bagi saya tidak timbul isu dalam perkara ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara Ke-64 di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu pada Sabtu.

Menurutnya, individu yang dipilih oleh Perdana Menteri untuk menggalas jawatan tersebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mempunyai kelayakan dalam bidang undang-undang.

Beliau berkata, tekadnya kini adalah untuk memberikan khidmat terbaik kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bersama dua timbalannya yang telah diberi mandat.

Misi itu jelas beliau, mampu digalas dengan sokongan dan kerjasama utuh daripada seluruh kakitangan dan pegawai di kementerian berkenaan.

"Walaupun berubah tugas, namun tanggunjawab baharu ini mempunyai hubung kait dengan aspek perundangan berkait tanah, sumber asli dan tenaga," katanya.

Tiada ulasan: