Isnin, 30 Ogos 2021

Ismail Sabri jangan telan bulat-bulat pandangan MT, Zahid untuk tadbir negara


Akar umbi parti komponen Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri dan cawangan mengingatkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kuasa pentadbiran negara berada di tangannya sebagai Perdana Menteri (PM).

Kuasa untuk mentadbir negara bukan diwakilkan oleh Majlis Tertinggi (MT) atau Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kepadanya, kata akar umbi MCA dan MIC yang memberitahu beberapa pemimpin UMNO bahagian.

Sumber MCA dan MIC memberitahu Agenda Daily, Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak semestinya menunjukkan kepatuhan kepada keputusan MT UMNO walaupun beliau adalah Naib Presiden parti itu.

“Jika PM Ismail (Sabri) mahu menjadi kerajaan Keluarga Malaysia, beliau mesti mendengar suara rakyat Malaysia, bukan mengikut telunjuk MT UMNO atau presiden.

“Kami mewakili masyarakat Cina sentiasa memantau. Kalau PM ikut cakap UMNO saja susah… kita bimbang masyarakat Cina terus sokong pembangkang.

“Kami ahli di bawah (akar umbi) bersama MIC sudah memberitahu beberapa pemimpin UMNO,” kata sumber itu memaklumkan mereka hanya bercakap menerusi telefon hari ini.

Sumber itu memberitahu demikian susulan laporan bahawa Perdana Menteri menyetujui beberapa panduan ditetapkan UMNO untuk mentadbir negara.

Sumber MIC pula memberitahu parti itu tidak menolak sepenuhnya panduan itu, tetapi PM mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran walaupun beliau adalah Naib Presiden UMNO.

“Ramai menteri Kabinet disertai parti-parti lain, termasuk dari komponen Perikatan Nasional (PN). Kalau PM hanya mengikut kata UMNO ianya bahaya,” katanya.

Sumber UMNO cawangan yang menganggotai jawatankuasa bahagian ketika dihubungi Agenda Daily mengesahkan dihubungi rakan-rakan daripada MCA dan MIC berhubung perkara itu.

Kata beliau akar umbi sentiasa menyokong Ismail Sabri sejak dilantik Timbalan Perdana Menteri di bawah Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin, hingga diangkat sebagai PM ke-9

Sambil berterima kasih kepada PM kerana mengikut nasihat tidak melantik pemimpin yang terlibat dengan kes mahkamah dan golongan kleptokrat sebagai menteri, sumber UMNO itu juga berharap Ismail Sabri berhati-hati menerima nasihat Zahid dan kumpulannya.

“Sebab itu kami menyokong penuh Ismail Sabri bertanding jawatan Presiden, sementara Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan KJ (Khairy Jamaluddin) kembali berada dalam saf kepimpinan parti.

“Terima kasih kerana secara tidak langsung cadangan kami PM terima dengan melantik Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid menjadi menteri,” katanya.

Sumber itu mengakui sekarang ini Ismail Sabri tidak dapat membantah keputusan MT walaupun beliau adalah Naib Presiden, kerana Zahid dan Mohamad Hasan (Timbalan Presiden UMNO) menguasai majoriti anggota MT.

Tetapi katanya, sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri mempunyai kelebihan kerana kuasa pentadbiran berada di tangannya.

Tiada ulasan: