Jumaat, 27 Ogos 2021

Terserah pada PM untuk tentukan masa depan saya, kata Speaker Dewan Rakyat

Azhar Azizan Harun dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat oleh bekas 
perdana menteri Muhyiddin Yassin dan mula berkhidmat sejak Julai 2020.
(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Azhar Azizan Harun menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan sama ada beliau kekal sebagai Speaker Dewan Rakyat atau sebaliknya.

Azhar berkata, beliau akan menjalankan tugas seperti biasa pada sidang akan datang jika khidmatnya masih diperlukan.

“Saya menjadi Yang di-Pertua (Speaker) atas ihsan majoriti Dewan Rakyat. Terpulanglah kepada perdana menteri yang memimpin majoriti Dewan sekarang ini untuk menentukannya,” katanya, seperti dipetik Utusan Malaysia.

Azhar yang dilantik sebagai Speaker oleh bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, mula berkhidmat sejak Julai 2020 bagi menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof.

Dua timbalannya, Mohd Rashid Hasnon dan Azalina Othman Said, meletak jawatan Isnin lalu.

Beliau menepis tuduhan mana-mana pihak yang mendakwa beliau hanya “mengikut telunjuk” perdana menteri ketika itu, malah katanya, beliau telah menjalankan tugas sebaiknya mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Saya selama ini jalankan semua tugas saya mengikut Peraturan Mesyuarat dan Perlembagaan Persekutuan. Saya nafikan apa-apa tuduhan bahawa saya tidak berlaku adil kepada mana-mana pihak.

“Malah saya rasa keadilan itu juga perlu diberi kepada saya sebagai Yang di-Pertua,” katanya.

Selepas sidang mesyuarat khas pada 26 Julai lalu, sidang penuh Dewan Rakyat bagi Penggal Keempat Parlimen ke-14 diputuskan untuk diadakan selama 15 hari bermula 6 Sept ini.

Tiada ulasan: