Isnin, 30 Ogos 2021

Sambutan Hari Kebangsaan 2021 hanya 55 minit

 Oleh AMREE AHMAD

Raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan pagi tadi.

PUTRAJAYA – Buat julung kali, sambutan Hari Kebangsaan 2021 hanya akan berlangsung selama kira-kira 55 minit susulan isu kebimbangan trend penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Mazlan Abdul. Mutalib selepas raptai penuh sambutan tersebut di sini hari ini.

Katanya, tempoh terhad ini bagi mengurangkan risiko jangkitan, malah setiap ruang dilalui peserta disembur bahan nyah cemar setiap dua jam bagi memastikan lokasi sentiasa bersih.

“Seperti tahun lalu, sambutan kali ini diadakan di Dataran Pahlawan Negara di sini dalam suasana kawalan ketat dan norma baharu tanpa ada penonton bagi mengelakkan kesesakan.

“Mengekalkan tema sama tahun lepas, Malaysia Prihatin, sambutan kali ini namun berbeza apabila menyaksikan perubahan kepimpinan negara kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,”katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Kerja Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 berkata, hanya peserta yang sudah lengkap dua dos vaksinasi akan terlibat.

“Mereka juga perlu menjalani ujian saringan tiga hari sebelum acara ini pada Selasa kerana ia syarat tambahan ditetapkan kementerian selain prosedur operasi standard lazim,” jelasnya.

Orang ramai boleh menyaksikan secara langsung melalui semua stesen penyiar tempatan mulai pukul 8 pagi selain akaun sosial Facebook kementerian dan Jabatan Penerangan. -K! ONLINE

Tiada ulasan: