MALAYSIAKINI
Setiausaha Wanita DAP Selangor, Nalina Nair dan seorang lagi aktivis, Sujatra Jayaraj memohon dibicarakan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967.
Ini berikutan penahanan mereka semasa acara nyalaan lilin di Dataran Merdeka pada Khamis lalu.
Kedua-dua wanita itu dihadapkan secara berasingan di hadapan hakim majistret, Tawfiq Affandy Chin dan Wong Chai Sia di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur petang ini, menurut peguam, Rajsurian Pillai.
"Tarikh berikutnya untuk kedua-dua kes itu ditetapkan pada 1 Oktober," kata Rajsurian ketika dihubungi Malaysiakini.
Peguam itu berkata Tawfiq menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi Nalina, manakala Wong menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi Sujatra.
Nalina juga diwakili oleh peguam Azira Aziz dan Farida Mohd, manakala Yoges M Verasuntharam, Adly Zulfadhly dan P Purshotaman turut mewakili Sujatra.
Seksyen 90 Akta Polis menyebut "seseorang yang berkelakuan rusuh, lucah, tak senonoh atau aib di balai polis adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini".
Berdasarkan kertas pertuduhan yang dilihat Malaysiakini, Nalina dan Sujatra didakwa melakukan kesalahan itu sekitar jam 9 malam pada 19 Ogos, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Nalina dan Sujatra adalah antara 31 peserta nyalaan lilin yang dibawa oleh trak Black Maria ke IPD Dang Wangi pada Khamis lepas.
Mereka dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang kerana melanggar peraturan dengan berhimpun ketika penularan wabak Covid-19.
Penganjur Sekretariat Solidariti Rakyat menganjurkan acara itu bagi mengenang mangsa yang telah meninggal dunia akibat Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan